ARTIKEL

Adana yang mewakili Sagah (berdiri enam dari belakang) merakam gambar kenangan bersama-sama pemenang Pertandingan Inovasi dan TVET Peringkat Sarawak: Inovasi, Pemodenan & Peningkatan Produktiviti untuk Transformasi Komuniti (IMPACT) 2026 di ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan, hari ini. | FOTO UKAS BAHAGIAN SAMARAHAN

Institusi TVET penyumbang bakat berkemahiran untuk industri masa hadapan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya dalam menyediakan bakat berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, aktiviti yang dilaksanakan di bengkel, makmal dan bilik darjah institusi TVET berkait rapat dengan landasan pembangunan negeri.

Adana (duduk tengah) merakam gambar kenangan bersama-sama wakil dan tetamu kehormat serta peserta yang terlibat. | FOTO UKAS BAHAGIAN SAMARAHAN

“Justeru, apa yang kita bina di institusi berkenaan pada hari ini, boleh menjadi sebahagian daripada ekonomi Sarawak pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Tetap MEITD, Datuk Adana Jed, pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Inovasi dan TVET Peringkat Sarawak: Inovasi, Pemodenan dan Peningkatan Produktiviti untuk Transformasi Komuniti (IMPACT) 2026 di ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan, hari ini.

Adana melawat reruai. | FOTO UKAS BAHAGIAN SAMARAHAN

Mengulas lanjut, beliau berkata, selaras dengan aspirasi tersebut, MEITD turut memberikan keutamaan kepada kerjasama strategik antara institusi pendidikan dengan industri, terutamanya dalam bidang teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

“Kita juga telah mengambil langkah proaktif untuk menambah baik kurikulum TVET dengan memasukkan elemen-elemen baharu seperti AI, sains data, pembelajaran mesin dan automasi, melalui kerjasama dengan pemain-pemain industri terkemuka,” ujarnya.

Beliau memberitahu, melalui inisiatif seperti TalentPath Sarawak 2026 yang memberikan tumpuan kepada latihan berasaskan keperluan industri menerusi pendekatan “Train and Place”, peserta mendapat latihan yang lebih selaras dengan kehendak sebenar industri.

“Matlamatnya jelas, iaitu untuk meningkatkan kemahiran, kebolehpasaran dan peluang pekerjaan para peserta,” ujarnya.

Sagah memaklumkan, Sarawak kini berada pada landasan yang jelas dalam merealisasikan aspirasi Strategi Ekonomi Digital Sarawak, seiring dengan perubahan dunia yang berlaku dengan pantas.

“Dalam persekitaran ekonomi hari ini, pertumbuhan dan kemajuan tidak lagi bergantung semata-mata kepada sumber-sumber tradisional. Sebaliknya, masa depan kita semakin bergantung kepada pengetahuan, inovasi, kreativiti dan teknologi.

“Justeru, kita perlu memastikan anak-anak Sarawak bukan sahaja bersedia menghadapi perubahan ini, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk mencipta dan memacu perubahan tersebut,” jelasnya.

Mengenai Pertandingan Inovasi IMPACT 2026, beliau menyifatkannya sebagai wadah penting dalam memupuk budaya inovasi, kreativiti dan pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda Sarawak.

“Saya yakin, melalui pertandingan seperti ini, kita bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu, malah menyediakan wadah penting untuk mengetengahkan kreativiti dan potensi anak-anak muda Sarawak,” tegasnya.

Sementara itu, Adana yang mewakili Sagah turut menyaksikan majlis penyerahan Memorandum Kerjasama (MOC) antara ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan dengan Desa Milenia Sdn. Bhd. dan Gabungan Trafik Sdn. Bhd., serta Surat Niat Kerjasama (LOI) dengan Universal Competency Academy Sdn. Bhd. (UCA).

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Ratusan rakyat Indonesia gempur kerajaan

JAKARTA: Ratusan rakyat Indonesia berkumpul di tengah Jakarta pada Rabu bagi membantah kesukaran ekonomi, rasuah dan cara kerajaan mengendalikan kebakaran hutan teruk yang menyebabkan jerebu

Yusuf Mahardika Lawan Rasa Takut

Mengakui dirinya penakut, pelakon Indonesia, Yusuf Mahardika, terpaksa berfikir dua kali sebelum menerima tawaran membintangi filem seram Rambut Sewu: Satu Langkah Geth. Namun, demi mencabar