
KUCHING: Program Jom Masuk Institut Pengajian Tinggi (IPT) Zon 3 akan diadakan pada 19 dan 20 Februari ini bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Profesor Datuk Dr Jamil Hamali berkata, melalui program ini, individu yang ingin menyambung pengajian akan didedahkan dengan pelbagai info penting yang diperlukan hasil perkongsian daripada wakil-wakil IPT.
Wakil IPT yang terlibat adalah Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
“Melalui program tersebut, calon lepasan SPM, STPM dan setaraf dengannya dapat memperolehi pendedahan dan maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh IPT ini.
“Sekali gus, pelajar boleh berurusan terus dengan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) yang akan menguruskan Sistem UPU dan juga penganjur program ini,” katanya dalam sidang media pada program Jom Masuk IPT Zon 3 Sarawak di BCCK, hari ini.
Katanya, program yang dianjurkan juga melibatkan penyertaan daripada 21 buah IPT Awam dan sebanyak 24 buah IPT Swasta termasuk Unimas, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan lain-lain.
Oleh itu, semua calon lepasan SPM, STPM dan setaraf dengannya dijemput untuk mengambil peluang ini bagi mengintai program pengajian yang ditawarkan selain berpeluang menyertai pelbagai aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan kelak.
Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program tersebut melalui Facebook rasmi UiTM Cawangan Sarawak atau terus ke laman rasmi di pautan www.sarawak.uitm.edu.my.