ARTIKEL

Integriti organisasi awam, swasta diperkukuh guna teknologi -Fadillah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan komited dalam memanfaatkan teknologi bagi memperkukuh inisiatif integriti, tatakelola baik dan pencegahan rasuah, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata inisiatif seperti perkhidmatan e-Kerajaan, aplikasi rantaian blok serta analisis data juga sedang diteroka bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerana dalam era digital, teknologi memberikan cabaran serta peluang dalam meningkatkan integriti dan tatakelola baik selain memerangi rasuah.

“Organisasi awam dan swasta boleh memanfaatkan kuasa teknologi untuk meningkatkan ketelusan, menyelaraskan proses dan membangunkan sistem yang lebih bertanggungjawab dan efisien. (Ini kerana) menerima kemajuan teknologi boleh merevolusikan cara kita meningkatkan integriti dan tatakelola yang baik.

“Mungkin platform Tech for Integrity (T4I) di bawah Inisiatif Perkongsian Menentang Rasuah (PACI) Forum Ekonomi Dunia boleh dijadikan sumber rujukan atau ilham bagi mempercepat usaha pencegahan rasuah, mengurangkan jumlah masa yang diperlukan, meningkatkan integriti dan tatakelola baik, pada masa sama memberi impak yang ketara,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2023 di sini semalm.

Baca lain  Ubat Tocilizumab untuk rawat COVID-19 dalam kajian - KP Kesihatan

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Fadillah berkata Kerajaan Perpaduan komited dalam mempertingkat integriti dan tatakelola baik Malaysia selain membanteras jenayah rasuah dalam negara tanpa mengira status serta kedudukan.

Beliau berkata perkara ini terbukti apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Arahan YAB Perdana Menteri No 1 Tahun 2023 Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Tatakelola Di Peringkat Persekutuan, Negeri dan Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan.

“Arahan YAB PM ini diperkukuhkan lagi melalui penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional yang berperanan menangani isu kelemahan tatakelola yang boleh menyebabkan ketirisan wang kerajaan, pembaziran serta risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Fadillah turut menekankan pembudayaan integriti dalam landskap Malaysia bukan sekadar agenda malah adalah misi yang memerlukan usaha kolektif dan berterusan selain menuntut dedikasi berpanjangan.

Menyentuh mengenai AIGA anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM), beliau berkata anugerah itu berfungsi sebagai pengiktirafan dan penghargaan bagi organisasi yang telah menerima cabaran untuk menyemai budaya integriti.

Baca lain  Deepavali satu jalan membangun Malaysia yang Madani

“Majlis anugerah ini bukan sekadar meraikan kejayaan dalam kalangan pemenang anugerah sebaliknya ia adalah seruan untuk bertindak secara bersama dan berterusan dalam mencapai misi kita untuk menjadikan integriti sebagai budaya di Malaysia,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi IIM Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.– BERNAMA

BERITA LAIN

Masyarakat perlu berani lapor kes dera

KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu berani untuk tampil melaporkan sebarang kes penderaan terutamanya di kawasan kejiranan mereka. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri

28,531 calon cemerlang UPKK

PUTRAJAYA: Seramai 28,531 daripada 230,587 calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dengan memperoleh A dalam semua lapan mata

BERITA TERBARU

Bacaan IPU Sarawak baik, sederhana

KUCHING: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh Sarawak menunjukkan bacaan baik dan sederhana serta tiada bacaan tidak sihat direkodkan susulan letusan Gunung Ruang di Sulawesi