Internet 24 jam di Pantai Damai

KUCHING: Semua kampung dan taman perumahan di kawasan Dun Pantai Damai kini mempunyai liputan Internet 24 jam.

Terkini Kampung Sungai Aur mempunyai liputan Internet menerusi Wifi SMA atas inisiatif Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kemudahan tersebut akan memudahkan perhubungan penduduk Kampung Sungai Aur dengan dunia luar.

“Anak-anak yang bersekolah dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) tanpa halangan.

“Usahawan tempatan juga dapat memasarkan produk seperti kuih sepit dan ekopelancongan secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Wifi Saluran SMA Linking Urban Rural & Nation di Kampung Sungai Aur semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, penduduk Kampung Sungai Aur perlu menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaik mungkin demi manfaat mereka.

“Kampung ini tidak lagi
ketinggalan dan peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh penduduk setempat,” ujarnya.

Mengenai PdPR katanya, satu perbincangan telah dijalankan bersama-sama pengurusan sekolah dalam kawasan Dun Pantai Damai untuk membantu pelajar supaya dapat mengikuti PdPR tanpa halangan.

“Kita akan berusaha membantu pelajar supaya tidak terjejas dalam pembelajaran,” katanya lagi.

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak Adiman Ajem dan Ketua Kampung (KK) Sungai Aur Tahir Seman turut hadir.