Internet dan kekangan pelajar luar bandar

KERAJAAN Sarawak kini bekerjasama dengan Sarawak Volunteers untuk membawa pulang guru dari luar Sarawak yang terkandas untuk kembali bertugas di 188 sekolah di negeri ini.

Kelmarin diumumkan proses membawa pulang 2,664 guru ke Sarawak menggunakan penerbangan sedang diusahakan. Manakala Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Selasa lalu mengumumkan pelajar kelas peperiksaan SPM dan STPM atau yang setara akan kembali ke sekolah dengan pematuhan SOP yang ketat manakala guru bukan dari kelas peperiksaan juga diarah turun ke sekolah bagi membolehkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PnP) dipelbagaikan.

Maksudnya di tengah-tengah wabak atau tidak, suka atau tidak, proses pembelajaran harus diadakan demi kelangsungan pendidikan negara walaupun banyak cabaran terpaksa pelajar tempuh untuk pembelajaran dalam talian.

Rata-rata pelajar tidak suka dengan kaedah pembelajaran dalam talian kerana dianggap tidak ada feel belajar dan tidak fokus terhadap subjek yang dipelajari, namun pelajar harus mendidik diri untuk belajar menguasainya.

Semua benda baharu memang sukar diterima. Di negara maju, sistem pembelajaran dalam talian sudah lama dipraktikkan tetapi belajar secara berdepan dengan guru adalah cara konvensional yang lebih praktikal.

Pertamanya, ada hubungan mata di antara guru dan pelajar dan kedua suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

Musibah yang melanda negara sedikit sebanyak memberi impak terhadap penggunaan sistem pembelajaran dalam talian di sekolah. Penggunaan pembelajaran dalam talian bagi menggantikan pembelajaran dalam bilik darjah juga dilihat ada peningkatan mendadak selepas wabak kesihatan global ini.

Sebenarnya di bandar maju di negara ini, kebanyakan guru dan pelajar sudah didedahkan kepada pembelajaran dalam talian apabila Kementerian Pendidikan memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) antara kerangka penting yang harus dipraktikkan di semua sekolah.

Namun semua orang faham mengenai masalah domestik di Sarawak, dengan liputan Internet yang tidak dapat dicapai sepenuhnya dan taburan infrastruktur luar bandar yang tidak teratur. Ini memberi masalah kepada sistem pembelajaran dalam talian.

Kemudahan infrastruktur dan jaringan Internet ini saling memerlukan. Kegagalan salah satunya akan menyebabkan proses pembelajaran dalam talian tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Ia memberi kelebihan kepada pelajar di kawasan bandar, bukan anak-anak desa kerana pelantar atau kerangka digital mengambil masa bertahun-tahun untuk dicapai di pedalaman.

Guru juga harus sedia merakamkan pengajaran bagi pelajar yang gagal mendapat capaian Internet bagi mengelak berlakunya keciciran.

Ibu bapa juga tidak terkecuali memainkan peranan penting dalam menyokong pembelajaran anak dengan menyediakan kemudahan asas di rumah seperti talian Internet, komputer atau telefon pintar dan ruang pembelajaran. Di samping kemudahan fizikal, ibu bapa juga perlu bersedia memainkan peranan sebagai pencetus semangat serta memberi galakan dan motivasi kepada anak sehingga mereka boleh menguasai kelas dalam talian dengan baik.