Internet dan keperluan rakyat

KETIKA Sarawak mengejar status negeri termaju menjelang tahun 2030 nanti, capaian Internet dengan kelajuan yang tinggi merupakan salah satu fokus Kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, apa yang masih menjadi cabaran untuk negeri ini ialah sebahagian besar kawasan luar bandar belum mempunyai capaian Internet yang tinggi. Kerajaan Sarawak tetap dalam usaha komited untuk melengkapkan kawasan di luar bandar dengan capaian Internet yang bukan sahaja memberikan manfaat yang positif kepada penduduk tetapi juga menjadi pelengkap kepada pembangunan infrastruktur.

Selain itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sangat mementingkan teknologi digital dan berhasrat membawa Sarawak ke arah ekonomi digital. Sarawak juga mempunyai satu aplikasi SarawakPay dan aplikasi ini memudahkan orang ramai membeli tanpa tunai dan dilengkapi kemudahan membayar bil dan sebagainya.

Adun Sadong Jaya Aidel Lariwoo baru-baru mendedahkan beberapa kampung yang mempunyai liputan internet yang rendah.

Menurutnya, capaian Internet dengan kelajuan 4G hingga 5G kini diperlukan di kawasan luar bandar untuk merancakkan lagi ekonomi digital.

Pada 23 Oktober lalu, syarikat telekomunikasi Celcom bersetuju untuk memasang sistem Internet 4G di Kampung Jemukan seterusnya di Kampung Jaie, Asajaya.

Mungkin ini memberi peluang kepada penduduk di Kampung Jemukan dapat menikmati capaian Internet berkelajuan tinggi.

Ya benar, perkara tersebut direalisasikan dan menjadi kenyataan apabila Celcom pada 20 November lalu menerusi hantaran di laman Facebook telah memberitahu, penduduk di Kampung Jemukan kini boleh menarik nafas lega kerana mereka boleh mengakses perkhidmatan capaian internet 4G, di rumah mereka sendiri.

Sebelum ini mereka perlu menempuh perjalanan tiga kilometer hanya untuk berhubung kerana kesukaran untuk mengakses capaian Internet. Jadi, dengan adanya perkhidmatan Internet 4G di kampung tersebut, ia akan membantu penduduk di kampung selari dengan kemajuan dan pembangunan di kawasan luar bandar ini.

Sehubungan itu, 19 November lalu pada sidang media Adun Tebedu Datuk Amar Micheal Manyin Jawong berkata, sebahagian besar kawasan luar bandar di Sarawak masih menghadapi masalah dalam penyambungan Internet.

Tambahnya lagi, perkara tersebut juga disebabkan oleh populasi penduduk yang kecil dan ia tidak mendatangkan keuntungan kepada syarikat telekomunikasi.

Walaupun Kerajaan Sarawak berusaha keras untuk membina menara telekomunikasi di seluruh negeri, kebanyakan syarikat telekomunikasi tidak berminat untuk menyediakan perkhidmatan Internet.

Ini adalah satu cabaran besar untuk kita sebagai rakyat Sarawak di mana dalam menikmati arus pembangunan terdapat juga masalah lain yang perlu kita hadapi.

Meskipun ia bukan satu masalah besar di kawasan bandar tetapi sebagai masyarakat prihatin kita juga memikirkan apa yang berlaku untuk saudara di luar bandar.

Apakah usaha Kerajaan Sarawak dalam menghadapi masalah ini?

Apakah penyelesaian kepada isu tersebut?

Apakah Sarawak mampu menyediakan kemudahan Internet 100 peratus di seluruh pelosok negeri ini?

Kita tunggu dan lihat.

Suara Sarawak