Internet kelajuan tinggi di Nanga Ensiring

KANOWIT: Penduduk kawasan Nanga Ensiring di Ulu Kanowit dekat sini bakal menikmati liputan Internet berkelajuan tinggi apabila menara telekomunikasi Smart siap dibina tidak lama lagi.

Adun Meluan Rolland Duat Jubin berkata, projek yang dibina Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) itu akan membolehkan penduduk di kawasan berkenaan menikmati liputan rangkaian 3G dan 4G.

Teknologi itu katanya, menggunakan platform Rangkaian Teras Pelbagai Operator (MOCN) yang mempunyai kemampuan untuk menampung beberapa operator perkhidmatan talian dalam satu saluran pemancar bagi memenuhi pangkalan pengguna mereka.

“Pendekatan platform MOCN ini dipilih setelah mempertimbangkan kerumitan operasi dan struktur kos penggunaan telekomunikasi luar bandar, yang tidak hanya akan mengoptimumkan sumber, malah menyediakan perkhidmatan pemasangan dan penyelenggaraan yang lebih menjimatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Menara Telekomunikasi Multimedia Authority Rural Telecommunication 300 (Smart 300), di Nanga Ensiring, Julau, semalam.

Rolland berharap projek berkenaan mampu melonjak pembangunan di kawasan Dun Meluan dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan yang memerlukan kemudahan Internet untuk memudahkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Projek ini juga membuktikan kerajaan GPS sentiasa menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Menara itu merupakan salah satu daripada lapan Menara Smart 300 di kawasan Dun Meluan.

Suara Sarawak