Internet lebih laju di Kapit dan Song

KAPIT: Berikutan masalah talian Internet yang kurang stabil di sini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan pemasangan sistem fiber optik di bandar Kapit, awal tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing yakin cara tersebut dapat menyelesaikan masalah Internet di Kapit.

“Masalah talian Internet kurang stabil dan lemah di bandar Kapit bakal selesai dengan pemasangan sistem fiber optik di bandar ini yang akan dilaksanakan awal tahun depan,” katanya ketika menyempurnakan penutupan Pertandingan PUBG Mobile Tertutup Baleh E-Sport Mobile Challenge yang diadakan di Dewan Sri Balleh di sini, malam semalam.

Masing yang juga Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastrutur berkata, untuk tujuan tersebut beliau telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat swasta. “Kita berbincang dan mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan masalah itu.

“Saya tahu banyak merungut tetapi perlu ada perancangan teliti dan sistematik bagi kita memperoleh hasil yang lebih baik kelak,” tegas Adun Baleh itu.

Menurut Masing, kajian lapangan kinsedang dijalankan oleh syarikat berkenaan dan projek itu akan melalui Pekan Kanowit dan Pekan Song sebelum disambungkan ke kawasan Kapit.

Tambahnya, talian Internet yang stabil diperlukan bukan sahaja untuk permainan dalam talian seperti PUBG tetapi juga untuk urusan rasmi termasuk mesyuarat yang kini banyak menggunakan sidang video secara langsung.

Terdahulu, Masing menyambut baik penganjuran pertandingan sukan elektronik PUBG kerana mampu menarik minat ramai golongan belia di Kapit untuk turut serta.

Ujarnya, permainan itu boleh mengisi masa lapang belia dan memberi sedikit hiburan lebih-lebih lagi banyak aktiviti sukan konvensional masih dihentikan penganjurannya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan susulan Covid-19.

Sebanyak 18 pasukan terdiri daripada empat orang dalam satu pasukan menyertai pertandingan tersebut.

Pertandingan selama sehari itu dianjurkan Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dun Baleh dengan kerjasama Pusat Khidmat Dun Baleh serta Persatuan Sukan Elektronik Batang Rajang Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Nicholas Kudi Jantai dan Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut.