Internet sampai ke Baram

KUCHING: Kerajaan Persekutuan melaksanakan pelbagai inisiatif menambah baik perkhidmatan jalur lebar di Parlimen Baram.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, inisiatif tersebut melibatkan pembinaan 43 menara komunikasi dan menaik taraf 46 alat pemancar komunikasi di menara komunikasi sedia ada.

Menurutnya, sebanyak enam menara komunikasi baharu sedang dibina di Parlimen Baram.

“Pada masa ini kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sedang merancang bersama pihak industri dan pelbagai agensi kerajaan bagi mengenal pasti lokasi berpendudukan tinggi seperti kawasan Long Apu, Long Spigen, Long Palai dan lain-lain di kawasan Parlimen Baram bagi memantapkan kualiti dan liputan perkhidmatan menggunakan pelbagai teknologi sesuai dalam masa terdekat,” ujarnya menjawab soalan Anyi Ngau (Baram-GPS) di Dewan Rakyat kelmarin.

Zahidi juga memaklumkan kepada SKMM supaya memberi keutamaan kepada Parlimen Baram termasuk meminta bajet tambahan daripada SKMM.

“Bagaimanapun, peruntukan agak tinggi di Parlimen Baram kerana banyak masalah untuk membawa masuk kemudahan ke kawasan tersebut.

“Kita memohon diberi keutamaan kepada Parlimen Baram daripada dana kerajaan untuk kawasan luar bandar,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong turut bertanya mengenai penggantian jana kuasa yang menggunakan diesel bagi menggantikan solar. Zahidi berkata, kementerian sedang mencari teknologi baharu seperti penggunaan satelit dan diusahakan di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut menambah, apa saja teknologi baharu yang dicadangkan pihaknya sentiasa usahakan.

“Melalui Program Makmal Infrastruktur Digital Negara yang diperkenalkan pada 13 hingga 14 Ogos ini, kita mengkaji secara terperinci bagaimana kawasan luar bandar menerima liputan jalur lebar.

“Kita hendak merapatkan jurang digital bandar dan luar bandar dan perlu ketengahkan pengetahuan penduduk dari segi kemudahan digital dan sebagainya,” katanya.

Suara Sarawak