ARTIKEL

INV rasmi projek pemisah bateri litium fasa 1 bernilai RM3.2 bilion di P.Pinang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

GEORGE TOWN: INV New Material Technology (M) Sdn Bhd, anak syarikat Shenzhen Senior Technology Material Co Ltd, China mencatatkan pencapaian penting dengan pelancaran kilang pertamanya di Malaysia melibatkan pelaburan berjumlah RM3.2 bilion untuk fasa pertamanya.

Shenzhen Senior Technology merupakan syarikat yang terkenal dalam industri pemisah bateri litium global.

Dalam satu kenyataan bersama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan INV berkata kemudahan yang seumpamanya di Asia Tenggara itu yang terletak di Taman Teknologi Pulau Pinang akan mempunyai kapasiti tahunan untuk menghasilkan 1.3 bilion meter persegi kaedah basah pemisah bateri litium dan pemisah bersalut.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam kenyataan itu berkata kejayaan INV di Pulau Pinang adalah hasil sinergi kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta. 

“Kerajaan negeri komited untuk menyediakan sokongan penting, dengan memberi tumpuan kepada persekitaran yang dapat memperluas kerjasama antara sektor awam dan swasta. 

“Untuk pencapaian masa hadapan, kerajaan negeri menjangkakan peningkatan pelaburan asing, mengesahkan komitmen kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada perniagaan global yang mencari pertumbuhan dan kejayaan dalam kawasan kita,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kilang baharu INV Pulau Pinang menyumbang kepada merealisasikan visi strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Industri Kimia 2030.

Beliau berkata kemasukan satu lagi pengeluar komponen kenderaan elektrik (EV) utama adalah rangsangan besar kepada cita-cita Malaysia untuk menjadi hab EV serantau. 

“Pencapaian pelaburan ini bukan sahaja akan mewujudkan sehingga 4,000 peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia, tetapi juga ke arah memenuhi visi masa depan pembuatan kami yang dinamik, canggih dan transformatif,” katanya.  

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata penubuhan kemudahan pembuatan INV di sini menjadikan Malaysia sebagai salah satu pengeluar pemisah bateri litium-ion terbesar di Asia Tenggara.

Beliau berkata status itu akan membawa perubahan transformatif kepada sektor plastik, mengalihkan tumpuan daripada komoditi dan barangan isi rumah ke arah pengeluaran plastik kejuruteraan khusus mewah yang disesuaikan.

Pengerusi INV Chen XiuFeng berkata syarikat itu akan mempergiatkan usaha dalam membangunkan pasaran Asean dengan meletakkan asas kukuh untuk pembangunan global, membawa pembuatan pintar melangkaui sempadan, dan menyuntik tenaga baharu ke dalam pembangunan ekonomi rantau Asean.

Pulau Pinang sebagai salah satu pintu masuk Malaysia yang paling penting ke seluruh dunia, memainkan peranan penting dalam pembangunan masa depan negara, katanya. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Capai sasaran tingkatkan pendapatan komuniti tani

KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) serta jabatan dan agensi di bawahnya diseru supaya terus komited dan berdedikasi menyampaikan khidmat kepada rakyat

Lebih 123,000 syarikat berdaftar dengan CIDB

KUALA PERLIS, Perlis: Sejumlah 132,579 syarikat telah berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) setakat Januari lepas. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick,

Sasaran perdagangan, pelaburan dapat dicapai

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis sasaran perdagangan dan pelaburan yang ditetapkan untuk tahun ini dapat dicapai meskipun penyusutan nilai semasa ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS),

Ekonomi hijau S’wak jadi contoh baik global

KUCHING: Sarawak menunjukkan contoh baik kepada seluruh dunia dalam membangunkan ekonomi hijau, kata Pengerusi Majlis Perdagangan dan Pelaburan Komanwel (CEIC), Lord Jonathan Peter Marland. Lord

BERITA TERBARU