
KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan membantu mengawal lalu lintas bagi mengurangkan kesesakan di Jalan Kuching-Samarahan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata pihaknya membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jajaran jalan yang mengalami kesesakan di bulatan lingkaran luar dan bulatan Setia Raja.
Justeru, katanya empat inisiatif dilaksanakan iaitu menambahkan kekuatan petugas pada waktu puncak, melanjutkan tempoh penugasan bermula pada awal pagi dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi dan pada waktu petang bermula jam 4 petang hingga 7 malam.
Pada masa sama, katanya mewujudkan pasukan rondaan pemantauan/ penarikan kenderaan.
“Selain itu, pejabat ini juga bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dengan menempatkan warden lalu lintas bagi turut membantu mengawal lalu lintas di bulatan lingkaran luar dan bulatan Setia Raja,” katanya menerusi satu kenyataan, sebentar tadi.
Sehubungan itu, Ahsmon berkata pihaknya berharap semua pengguna jalan raya sentiasa mematuhi arahan daripada anggota polis yang bertugas bagi melancarkan aliran trafik.
Sebarang pertanyaan atau bantuan boleh menghubungi talian hotline IPD Kuching melalui nombor 082-244444.