IPD Padawan periksa rumah, pastikan SOP PKPB dipatuhi

PADAWAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan akan terus membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah sempena hari perayaan ini, bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata sehingga hari ini, sebanyak 49 buah rumah telah diperiksa sejak operasi pematuhan PKPB itu dimulakan pada 24 Mei lalu.

“Hari ini sahaja sebanyak 12 buah rumah telah diperiksa namun kesemuanya didapati mematuhi SOP PKPB dan tidak berlaku sebarang tindakan rentas sempadan balik kampung bagi menyambut Hari Raya secara menyalahi PKPB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menyeru agar masyarakat umum terus memberi kerjasama dalam membantu polis membendung penularan Covid-19.

“Saya memohon agar masyarakat mempunyai sikap bertanggungjawab dan menyayangi diri sendiri, keluarga serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Suara Sarawak