Trending

IPG BERSELAWAT

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

INSTITUT Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL) mengadakan Program Majlis IPG Berselawat Peringkat IPGKBL 2023 dengan jayanya di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching pada 25 Ogos lalu.

Program dianjurkan oleh Biro Kerohanian, Moral dan Disiplin Jawatan Pewakilan Pelajar IPGKBL bersama Majlis Rasullah Cawangan Sarawak dan beberapa persatuan lain.

Timbalan Pengarah Program Nur Adibah Mazlan, 22, berkata program ini merupakan majlis yang dikhususkan untuk mengingati Rasulullah SAW melalui pujian terhadap Baginda dan menyampaikan perkataan (hadis) Baginda.

Ia diadakan bersempena Maulidur Rasul sebagai bentuk pembuktian cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

Kata Adibah, majlis ini juga diisi dengan alunan qasidah oleh Kumpulan Muhibbin Sarawak Darul Hana dan tausiyah khas oleh pemimpin Majlis Rasullah SAW Malaysia, Habib Nael ben Taher.

“Seperti majlis berselawat lain, Mahalul Qiyam wajib bagi program ini.

“Mahalul Qiyam kegiatan berselawat dilakukan bersamasama dengan berdiri yang menunjukkan penghormatan dan kemuliaan terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Program ini dapat mengubati hati para perindu Rasullah SAW serta menanam perasaan cinta mendalam terhadap baginda dalam kalangan umat,” katanya kepada Suara Sarawak.

Menurut Adibah, banyak cabaran ketika mengendalikan program ini supaya berjalan dengan lancar.

Ujarnya, kebanyakan ahli jawatankuasa (AJK) merupakan siswa yang belum pernah memegang sebarang jawatan atau terlibat dalam sukarelawan turut membantu menjayakan program tersebut.

Antara AJK terlibat merupakan mahasiswa daripada opsyen Pendidikan Islam, Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Sejarah dan lain-lain.

Walaupun AJK program tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan majlis besar, mereka menunjukkan kerjasama baik seperti bertindak pantas dan patuh arahan.

Cabaran yang dihadapi dapat diatasi dengan kerjasama erat ahli dan AJK yang komited menyumbangkan tenaga.

LEBIH BANYAK PROGRAM

Adibah yang juga pelajar TESL berharap agar lebih banyak program sebegini diadakan dengan membuat persiapan lebih awal, menambah audiens serta menjemput ramai pentausiyah bagi memeriahkan program berselawat pada masa hadapan.

Pada masa yang sama, peserta program berselawat Nuraliyah Elmie Abdul Latif, 19, berkata program sebegini dapat memberi ruang kepada pelajar untuk menghadiri majlis ilmu dan majlis keagamaan. 

Ia juga dapat menyuntik kesedaran dan keinsafan dalam diri pelajar dan sewajarnya diadakan untuk menyemai nilai kerohanian dalam diri. 

“Saya peroleh pelbagai ilmu bermanfaat seperti tanggungjawab sebagai pendidik, kelebihan berselawat dan kepentingan mengingati Allah daripada program ini. 

“Program ini memperkenalkan pelbagai jenis selawat.

Paluan gendang dan kompang daripada kumpulan yang mengalunkan selawat juga menambahkan semangat jemaah yang hadir. 

“Untuk program seterusnya, cadangan saya agar pihak penganjur menjemput pelbagai murabbi pada masa akan datang,” ujarnya.

JADIKAN PROGRAM TAHUNAN

Nuraliyah juga berharap agar program sebegini terus dilaksanakan bagi memupuk kerohanian dan mendekatkan diri pelajar dengan Sang Pencipta.

Di samping itu, peserta program Muhammad Yusuf Mohd Yassin, 19, berpendapat program sebegini baik bagi masyarakat terutama golongan muda untuk cinta akan Rasulullah.

Dalam program tersebut, Yusuf memperoleh ilmu baharu tentang Nabi Muhammad SAW dan kecintaannya kepada Baginda bertambah melalui aktiviti seperti mahalul qiam.

Yuruf berharap agar program mencintai Rasullah terus diadakan terutama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau swasta supaya golongan muda berminat dan mengenali tentang Rasulullah.

Bagi pelajar IPGKBL Nur Assaqifah Fadhlina Anuar, 19, program berselawat dilihat perlu bagi mendekatkan lagi diri dengan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. 

Ini kerana, program berbentuk keagamaan memberi ketenangan kepada jiwa dengan pengisian agama tanpa perlu memikirkan hal luar. 

Tambah Assafiqah, program sebegini secara tidak langsung merapatkan lagi ukhuwah antara satu sama lain dan berharap agar program ini lebih banyak diadakan di setiap kawasan dan disebarluaskan agar semua masyarakat dapat mengambil peluang untuk bersama-sama duduk dalam majlis agama.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Lenggok zapin Melayu

ZAPIN berasal dari tradisi Tarian Zafana Orang Arab dari Hadramaut,

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru