JURULATIH Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti menjelaskan, posisi sayap dan serangan perlu dipertajamkan lagi, sebelum aksi menentang pendahulu liga, Negeri Sembilan pada 3 April depan.
Dengan tempoh rehat lebih seminggu, beliau akan memastikan serangan KCFC lebih tajam.
“Kami perlu bekerja keras, dan menggandakan usaha bagi memastikan posisi serangan dan sayap benar-benar berfungsi.
“Selain itu, mental pemain juga perlu kuat dalam menghadapi cabaran apabila terpaksa beraksi di gelanggang lawan bagi kesemua sepuluh perlawanan,” tegas Irfan.
Beliau juga tidak menolak, motivasi pemain sedikit terganggu kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk tempoh yang agak lama.
KCFC kini berada di tangga kelapan setelah melakar satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan. Mereka kalah 3-1 kepada JDT II dan tewas 2-0 kepada Sarawak United FC.
Mereka menumbangkan PDRM 2-1, dan seri 1-1 dengan Terengganu FC II.
Dalam aksi menentang Negeri Sembilan pada 3 April, nanti, KCFC akan menggunakan Stadium Likas, Sabah sebagai gelanggang utama.
Yang pasti, KCFC menempuhi perlawanan sukar, kerana berdepan lima pasukan hebat dalam lima aksi pertama, menentang Terengganu FC II, JDT II, Sarawak United, PDRM dan Negeri Sembilan.