Isi nama, nombor telefon tepat

KUCHING: Orang ramai perlu memberikan nama dan nombor telefon yang betul ketika mengisi maklumat diri sebelum masuk ke premis atau tempat yang berkaitan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sekiranya nama dan nombor telefon yang diberikan tidak tepat, maka ia akan menyukarkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bagi mengesan kontak rapat mangsa Covid-19.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa nama dan nombor telefon anda amat penting untuk mengesan kontak rapat.

“Strategi kita untuk melawan Covid-19 supaya mempercepatkan pengesanan yang dekat dengan mangsa kerana jika orang itu didapati positif, maka ia akan dapat menjangkiti individu lain dengan cepat,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, semalam.

Tambahnya, terdapat aplikasi seperti Covid Trace, Qmunity dan MySejahtera untuk memudahkan orang awam.

“Mereka yang tidak mahu menulis nama sendiri boleh menggunakan aplikasi tersebut.

“Jika tidak menggunakan aplikasi, anda boleh membawa pen sendiri agar tiada risiko untuk dijangkiti Covid-19,” ujarnya.

Beliau menggesa supaya setiap masyarakat mengambil serius perkara tersebut walupun ia sukar untuk dilakukan.

Dalam hal berkaitan, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sebanyak 1,473 jumlah kenderaan melalui sekatan jalan raya antara zon satu dan zon dua yang diadakan di Daerah Simunjan dan Sri Aman.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat 1,462 mendapat kebenaran dan 11 diarah berpatah balik kerana tidak memiliki surat kebenaran,” ujarnya.

Menurutnya, PDRM mengeluarkan sembilan kompaun kerana tidak mematuhi SOP.

“Ini termasuk empat di Padawan, dua di Kota Samarahan dan satu di Betong, Sarikei dan Miri,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak