ARTIKEL

Isi segera jawatan guru, pengetua

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengisian kekosongan jawatan guru di sekolah Daerah Daro termasuk jawatan pengetua dan guru besar masih tidak dapat diisi sepenuhnya, kata ADUN Daro Safiee Ahmad.

Beliau berkata, antara sekolah di kawasan DUN Daro yang masih belum mempunyai pengetua dan guru besar adalah SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, Daro, SK Penasu, Daro, SK Nanga Semah, Daro dan SK Batang Lassa, Daro.

Justeru katanya, kegagalan mengisi jawatan utama ini bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran malah turut menjejaskan aspek pengurusan dan pentadbiran sekolah berkenaan.

“Kalau masalah ini pun kita masih tidak mampu menyelesaikannya, bagaimana pula kita mampu memartabatkan sektor pendidikan negara ini ke arah yang bertaraf dunia.

“Oleh itu, saya menggesa kepada kementerian dan Jabatan Pendidikan supaya kekosongan ini dapat diisi dengan segera.

“Manakala untuk urusan perpindahan mana-mana pengetua dan guru besar pada masa hadapan hendaklah dilaksanakan sekiranya sudah ada pengganti dan jangan dibiarkan jawatan tersebut kosong terlalu lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Usul Penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, pada persidangan DUN Sarawak, semalam.

Safiee dalam masa yang sama juga berharap supaya Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia memberi keutamaan dalam usaha menambahbaik ataupun menaik taraf sekolah daif yang sedia ada di Sarawak.

Katanya, ia supaya kualiti pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan seterusnya memartabatkan sektor pendidikan di negara ini amnya dan di Sarawak khasnya.

Sehubungan itu beliau ingin mengetahui status pelaksanaan projek sekolah daif di bawah kawasan DUN Daro khususnya SK Tebaang Daro yang telah lama diluluskan.

“Aspek pendidikan merupakan satu perkara yang amat penting dalam pembinaan negara bangsa dan Kerajaan Sarawak memartabatkan pendidikan

di Sarawak dengan memberi perhatian khusus membangunkan sektor pendidikan ini.

“Usaha ini mampu menghasilkan modal insan Sarawak yang berkualiti khususnya kepada generasi muda,” ujarnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU