KUCHING: Berikutan tiada pengecilan saiz perkhidmatan penjawat awam, Ceupacs mahu kekosongan untuk jawatan Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) diisi sepenuhnya untuk tempoh ini.
Presidennya Adnan Mat berkata, ia penting kerana kedua-dua jawatan itu bertugas di barisan hadapan, namun ia semakin pupus kerana tiada lantikan baharu dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.
“Justeru, jabatan perkhidmatan awam harus memasukkan pekeliling ataupun arahan yang meminta jabatan atau ketua perkhidmatan mengecilkan saiz perkhidmatan sebanyak dua peratus setiap tahun bermula pada tahun ini, dua peratus tahun hadapan dan satu peratus pada tahun ketiga.
“Maka dengan pengumuman Perdana Menteri itu, Ceupacs memohon supaya jawatan PPKP dan PKP diberi keutamaan untuk ditambah waran lantikan termasuk peluang kenaikan pangkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada petugas barisan hadapan di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan semalam.
Jelasnya, peluang kenaikan pangkat khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) amat terhad.
“Pada masa yang sama, jawatan ini tidak diisi susulan pengosongan pegawai yang bersara, meninggal dunia, ataupun bersara dengan pilihan.
“Justeru itu kita mohon agar jawatan ini diisi semula,” ujarnya lagi.
Jelasnya, pada masa akan datang kemungkinan berlaku penggabungan jawatan yang skop fungsi hampir sama dan digabungkan dengan jawatan lain.
“Tetapi fungsi asal masih dikekalkan dan mungkin nama jawatan tersebut digabungkan.
“Ini mungkin salah satu cara kerajaan mengecilkan saiz perkhdimatan, tetapi isu saiz perkhidmatan ini tidak akan timbul,” tegasnya lagi.
Adnan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan melibatkan PPKP dan PKP dari seluruh Sarawak yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
Terdahulu sempena sambutan Hari Persekitaran Kesihatan Sedunia Peringkat Negeri Sarawak, ceramah “Kesihatan Persekitaran: Intervensi Kesihatan Awam Peting dalam Pencegahan Pandemik” turut disampaikan kepada pegawai yang hadir.