ARTIKEL

Israel hilang sokongan dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LONDON: Perdana Menteri Ireland pada Rabu berkata, perkara yang berlaku di Gaza juga merupakan bencana bagi Israel kerana rejim itu kehilangan sokongan di seluruh dunia.

Leo Varadkar berkata ia adalah bencana kerana konflik yang dicetuskan rejim itu tidak membawa ‘keselamatan’.

“Tindakan Kerajaan Israel menjejaskan keselamatan jangka panjang dan jangka sederhana… Ini tidak akan membawa kepada keamanan dan mereka semakin hilang sokongan.

“Malah sekutu terdekat mereka Amerika Syarikat, saya percaya mula meragui perkara yang mereka lihat sedang berlaku di Gaza ,” katanya kepada kepada Parlimen Ireland di Dublin, lapor Agensi Anadolu.

Mengulas undian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa untuk gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza, beliau berkata ia penting dan Ireland menyambut baik usaha itu.

“Hanya 10 negara kini berpihak kepada Israel dan perkara kita lihat berlaku di Gaza adalah bencana mutlak bagi rakyat Palestin dan mereka mengalami penderitaan yang begitu dahsyat,” kata Varadkar.

Resolusi tidak mengikat itu, dibentangkan oleh Mesir dengan sokongan hampir 100 negara, termasuk Turkiye dan diluluskan pada sesi khas tergempar mengenai Palestin dengan 153 undi menyokong daripada 193 negara anggota.

Leo Varadkar berkata konflik di Gaza adalah bencana strategik bagi rejim itu dan membuat kesilapan besar.

Sambil menyuarakan kebimbangan akan situasi semasa di wilayah yang terkepung itu, beliau berkata, Ireland menyifatkan keadaan itu tidak dapat diterima.

Beliau menggesa supaya pengeboman tanpa henti dan pembunuhan orang awam yang tidak bersalah dihentikan dan menegaskan bahawa Kerajaan Ireland membawa kes itu ke Brussels dan platform lain untuk memastikan gencatan senjata segera dan berkekalan.

Israel mengebom Semenanjung Gaza selama lebih dua bulan, membunuh lebih 18,500 rakyat Palestin dan mengakibatkan kemusnahan teruk di wilayah itu. – Bernama

LAIN-LAIN BERITA

Empat peluncur ski maut dalam runtuhan salji

BISHKEK, Kyrgyzstan: Runtuhan salji di timur Kyrgyzstan mengorbankan empat nyawa, menurut perkhidmatan media Kementerian Situasi Kecemasan Kyrgyzstan pada Isnin. Tragedi berlaku pada 1 petang waktu

Protes ulang tahun pemberontakan anti-Marcos

MANILA: Beratus-ratus penunjuk perasaan Filipina berarak melalui Manila pada Ahad, menandakan ulang tahun kebangkitan yang menggulingkan Ferdinand Marcos, sambil berikrar untuk menghalang anaknya daripada mengulangi

BERITA TERBARU