JABBET AL-DHIB: Tentera Israel pada Ahad merobohkan sebuah sekolah rendah Palestin di Tebing Barat yang diduduki, menyebut isu keselamatan sebagai alasan perobohan.
Namun tindakan Israel merobohkan sekolah itu mendapat kritikan daripada Kesatuan Eropah (EU) yang telah membiayai projek tersebut.
Rakyat Palestin hanya membaling batu ke arah tentera rejim Zionis yang melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka ketika jentolak masuk ke tapak di perkampungan Jabbet al-Dhib berhampiran Bethlehem.
EU mengatakan ia terkejut dengan kehadiran tentera Israel pada waktu subuh di tapak sekolah itu, yang menurut seorang pegawai Pihak Berkuasa Palestin memberi perkhidmatan kepada 45 pelajar dan mempunyai lima bilik darjah.
Israel telah menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967.
Wilayah itu adalah rumah kepada kira-kira 2.9 juta rakyat Palestin. Kira-kira 475,000 peneroka Yahudi juga tinggal di situ di penempatan yang diluluskan kerajaan Israel, yang dianggap haram di bawah undangundang antarabangsa.
Sebuah treler dan bilik darjah yang dibina daripada kepingan timah telah dikosongkan sebelum ia dirobohkan, kata seorang wartawan.
Badan kementerian pertahanan Israel, COGAT, yang menyelia hal ehwal awam di wilayah diduduki, pada Mac lalu memberi tempoh dua bulan untuk mengosongkan premis itu berikutan perintah mahkamah Baitulmaqdis.
COGAT mendakwa bahawa sekolah itu dibina secara haram dan menimbulkan bahaya keselamatan.
Seorang pegawai kementerian pendidikan Palestin, Ahmed Naser memberitahu AFP, sekolah itu berfungsi menggantikan sekolah lain yang dirobohkan oleh Zionis pada 2019.
Menurut Naser, lokasinya yang terpencil, menghalang pemindahan dan pengusiran paksa penduduk tempatan Palestin, mendakwa bahawa Israel mahu merampas tanah berkenaan.
EU menggesa Israel supaya menghentikan semua perobohan dan pengusiran, yang hanya akan meningkatkan penderitaan penduduk Palestin dan meningkatkan lagi ketegangan.
“Perobohan adalah menyalahi undang-undang antarabangsa, dan hak kanak-kanak untuk mendapat pendidikan mesti dihormati,” kata pejabat wakil EU ke Wilayah Palestin dalam satu kenyataan.