Isteri maut, suami dan anak selamat

PADAWAN: Seorang wanita maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama-sama suami dan anaknya terbabit dalam kemalangan di Jalan Matang Batu 5, berhampiran Institut Memandu Cangiran di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dilaporkan sekitar jam 12.20 tengah hari semalam.

Mangsa yang berusia 41 tahun, dari Kampung Segong Singgai, Bau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Semasa bergerak di Jalan Matang Batu 5, tiba-tiba motosikal yang ditunggang suami mangsa hilang kawalan menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya dan terkena dua buah kenderaan yang melalui jalan yang sama,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Alexson berkata suami dan anak mangsa termasuk pemandu dua kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suara Sarawak