ARTIKEL

Seramai 14 pegawai dan 185 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan Skuadron Istiadat Berkuda Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergambar pada Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara yang berlangsung di pekarangan Pintu I, Istana Negara hari ini.

Istiadat pertukaran Pengawal Istana Negara kembali diadakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara kembali diadakan semula di Istana Negara di sini hari ini selepas terhenti seketika ekoran penularan pandemik COVID-19 sejak 2019.

Istiadat pertukaran antara pengawal baharu dan lama di pekarangan hadapan Pintu 1 Istana Negara itu melibatkan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan 21 Skuadron Istiadat Berkuda (21 SIB) di bawah naungan Markas 12 Briged.

Seramai empat pegawai dan 80 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) 1 RAMD serta dua pegawai dan 22 anggota LLP dari 21 SIB di bawah naungan Markas 12 Briged terbabit dalam upacara itu.

Istiadat dimulakan pada 9 pagi dengan perbarisan keluar anggota pengawal lama dari dalam pekarangan istana yang mengambil kedudukan di hadapan pintu utama dan kemudian disertai anggota pengawal baharu yang mengambil kedudukan berhadapan mereka.

Ia disusuli upacara penyerahan panji-panji sebagai simbolik pertukaran pasukan sebagai Pengawal Istana baharu dengan disaksikan Pegawai Memerintah 1 RAMD, Kolonel Awis Ibrahim.

Istiadat selama 40 minit itu turut diiringi pasukan pancaragam Platun Brass Band 1 RAMD seramai 25 anggota LLP dan Pancaragam Pusat RAMD seramai 30 anggota LLP.

Menariknya, upacara istiadat berkenaan yang dilaksana pertama kali pada 1959 dibuka untuk tontonan awam dan pelancong sejak tahun 1994 iaitu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-10, Tuanku Ja’afar ibni Tuanku Abdul Rahman.

Ketika ditemui pemberita, Awis berkata istiadat berkenaan dilaksanakan empat kali setahun mengikut tarikh tertentu setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Alhamdulillah, istiadat hari ini kali pertama dibuat sejak pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Januari lepas.

“Istiadat ini bukan sewenang-wenangnya boleh dilaksanakan kerana ia membabitkan kawasan utama istana, iaitu pintu kawasan hadapan Pintu 1 Istana Negara yang menjadi laluan utama Seri Paduka Baginda bagi urusan rasmi negara,” katanya.
 
Beliau berkata skop tugasan Pengawal Istana tertumpu lebih kepada istiadat manakala dari aspek keselamatan keseluruhannya di bawah tugasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Antara tugasan Pengawal Istana, memberi tabik hormat dan kawalan suku apabila Yang di-Pertuan Agong berangkat tiba dan meninggalkan istana selain ke atas kunjungan kehormat atau ketibaan tetamu luar serta acara utama iaitu pertabalan dan hari keputeraan. 

“Pengawal Istana ini juga akan bertugas mengawal pintu istana bermula 6.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

280 individu sertai Larian Amal Rakyat 2.0

KUCHING: Seramai 280 individu telah menyertai program Larian Amal Rakyat 2.0 yang berlangsung semalam. Program larian tersebut anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah

BERITA TERBARU