KUCHING: Kerja membaik pulih saluran paip yang terjejas di Batu 7 Jalan Miri-Bintulu dijangka siap esok.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, kementeriannya bersama-sama agensinya dan LAKU Management Sdn Bhd sedang berusaha untuk memulihkan bekalan air secepat mungkin.
“Kerja membaik pulih dijangka siap esok dengan bekalan air dapat disalurkan sepenuhnya ke semua kawasan terjejas menjelang Isnin,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung PBB ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Beliau berkata, ketika ini LAKU sedang menggerakkan lori tangki air untuk membekalkan air ke 80 peratus kawasan yang terjejas.
Menjelas lanjut, Julaihi berkata kerja membaik pulih saluran paip yang terjejas itu mengambil masa yang agak lama ekoran hujan lebat yang berlaku semalam sehingga menyebabkan tapak saluran paip berkenaan banjir.
Katanya, kerosakan berlaku disebabkan oleh saluran paip berdiameter 1,100mm itu terlepas sambungannya pada 16 Jun lalu disebabkan oleh pergerakan tanah.
“Saluran paip ini masih dalam keadaan baik walaupun sudah berusia lebih 30 tahun, cuma kerosakan berlaku disebabkan oleh pergerakan tanah di kawasan terbabit,” katanya sambil menambah batang paip yang digunakan itu adalah berkualiti tinggi.
