Trending

Isu ‘naked tower’ di Sarawak bakal selesai bulan ini

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadli ketika ditemui pemberita

KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bakal mengumumkan berita baik mengenai penyelesaian masalah ‘naked tower’ di Sarawak sebelum hujung bulan ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadli berkata, sekiranya berjalan dengan lancar akan ada satu pengumuman baik untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita berharap dapat menyelesaikan secara menyeluruh masalah ini yang telah lama membelenggu rakan-rakan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa isu yang diselesaikan nanti berbeza dengan Starlink kerana ia hanya perkhidmatan internet satelit.

Ujarnya, bagi isu ‘naked tower’ kalau diselesaikan nanti akan memberi perhubungan selular yang bermaksud orang awam boleh membuat panggilan biasa jika dibandingkan menggunakan Starlink yang menggunakan ‘Voice Over Internet Protocol’ atau ‘Voice Over Wifi’.

“Berhubung menggunakan pangilan biasa kita dapati itu yang rakyat inginkan.

“Saya juga percaya ada beberapa perkara yang sedang kita teliti termasuk pengenalan Starlink untuk menara-menara pintar selepas menyelesaikan pembinaan 600 menara pintar di Sarawak,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Fahmi melahirkan rasa bangga dengan penglibatan pelbagai jabatan, sektor korporat dan masyarakat di negeri ini yang menunjukkan semangat perpaduan melalui pelaksanaan program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.

Fahmi berkata kementeriannya akan sentiasa mempergiatkan lagi usaha memupuk dan menyemarakkan nilai patriotisme dalam kalangan rakyat termasuklah melalui pelbagai program yang dijalankan.

“Bagi membudayakan dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam jiwa rakyat agar setia dan cinta akan negara, pelbagai program telah dilaksanakan termasuklah Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG), Program Semarak Gemilang 2023 dan program Sketsa Rukun Negara.

“Kesemua program tersebut melibatkan pelbagai lapisan masyarakat menerusi kerjasama strategik dengan agensi lain,”katanya.

Menurutnya, usaha murni ini dilakukan melalui pendekatan secara komunikasi bersemuka serta memanfaatkan platform digital agar mesej perpaduan dapat diterapkan dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohammad Fauzi Md Isa.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru