Isu perparitan Batu Kawa bakal selesai

KUCHING: Masalah banjir kilat di Batu Kawa akan selesai selepas projek menaik taraf sistem perparitan dan tebatan banjir di kawasan ini siap.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata projek bernilai RM120 juta itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).
“Projek ini merangkumi penambahbaikan sistem perparitan di Jalan Batu Kawa Lorong 1C dan 3, Sg. Moyan, Sg. Surih, Jalan Field Force, Jalan Ketitir, Desa Wira dan kawasan RPR.
“Ia termasuk kerja-kerja pemulihan tebingan sungai di Kampung Sinar Budi Baru,” katanya.
Beliau yang juga Adun Batu Kawa berkata demikian selepas meninjau lokasi projek di Jalan Field Force, di sini, hari ini.
Hadir sama Penolong Pengarah JPS Sarawak Ir. Jamesy Mijek, wakil syarikat perunding dan rekaan projek Ir. Foo Siang Ning dan Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Batu Kawa Lim Ah Ted.
Kui Hian menambah beliau juga diberi jaminan oleh JPS Sarawak bahawa isu perparitan di Batu Kawa akan pulih selepas projek itu siap.

Suara Sarawak