KUCHING: Konsert Getaran Jiwa TVS menyaksikan seramai lapan peserta berentap pada episod pertama yang berlangsung di Stadium Tertutup MBKS, di sini malam tadi.
Program realiti yang julung kali diadakan stesen televisyen Sarawak, TVS itu diinspirasikan menerusi karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Lapan episod konsert menampilkan 40 peserta secara keseluruhannya melalui pencarian bakat baharu dari seluruh negara.
Program ini menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.
Untuk persembahan sulung, ternyata ia membuka langkah kanan buat dua peserta dari Sarawak, Izwan Dahlan,29, dan Sam Dean, 48, apabila mara ke pusingan separuh akhir pada konsert semalam.
Dimeriahkan oleh Sissy Imann dan Jiggy Masin selaku hos, program dengan sokongan Kerajaan Sarawak ini bersiaran langsung selama 1 jam 45 minit bermula 8.45 malam.
Sebelum itu, pada jam 7.30 malam, kapsul Debaran Jiwa turut disiarkan menampilkan barisan personaliti TVS, Fattah dan Siti Zawawi.
Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70 peratus oleh barisan juri profesional dan 30 peratus oleh juri awam yang mengundi di atas talian menggunakan ‘Meter Jiwa’.
Persembahan peserta minggu ini dinilai oleh Datuk Nash selaku Ketua Juri serta Norafizah Busman sebagai Juri Tetap dan Fauziah Latiff selaku juri jemputan.
Selain ditayangkan langsung di saluran 122 Astro dan MYTV, orang awam turut berpeluang menonton konsert mingguan Getaran Jiwa di Stadium MBKS, di sini.
Ikuti laman media sosial Getaran Jiwa (https://linktr.ee/getaranjiwa) untuk maklumat lanjut.
