J-KOM nafas baharu sistem penyampaian komunikasi kerajaan, rakyat

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menjenamakan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dengan peranan dan fungsi berbeza dilihat mampu memberi nafas baharu dalam sistem penyampaian komunikasi dan maklumat lebih berkesan antara kerajaan dan rakyat.

Pakar dan penganalisis berpendapat, ia amat bersesuaian dengan situasi semasa negara yang mengutamakan masyarakat bermaklumat, walaupun J-KOM mungkin berdepan sedikit cabaran, terutamanya dalam mengubah persepsi rakyat terhadap peranan jabatan itu yang dianggap sebagai alat propaganda kerajaan sebelum ini.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, selain mengelak pertindihan fungsi dengan agensi lain, langkah penjenamaan semula itu dilihat memberi ruang lebih banyak kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat dengan lebih tepat dan sahih.

“Bukan sahaja dari segi memberikan informasi berkaitan perkara yang berlaku dalam kerajaan, bahkan lebih penting ia menyediakan satu saluran komunikasi dinamik yang boleh masyarakat salurkan, terutama memberikan input dan cadangan atau kritikan terhadap dasar kerajaan atau apa juga pelaksanaan program dilakukan kerajaan.

“Kerajaan boleh berinteraksi secara dinamik dan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan untuk menjadi lebih responsif serta meningkatkan akauntabilitinya, dan ia juga secara langsung mengukuhkan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat digital,” katanya kepada Bernama.

Langkah penjenamaan semula itu dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, yang mana matlamat J-KOM adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Saifuddin turut memberi jaminan bahawa J-KOM bukan mesin propaganda, dan ia bertujuan menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat, sahih dan bijaksana kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas daripada rakyat.

Kaedah yang digunakan ialah dengan cara membangunkan komuniti, khususnya di peringkat akar umbi, yang mengamalkan budaya ilmu, berkemahiran digital dan menghayati makna serta fokus patriotisme, dengan menggunakan pendekatan ‘penghakupayaan komuniti’.

Sebelum ini, banyak pihak mempertikaikan pewujudan semula JASA yang telah dimansuhkan kerajaan terdahulu, selain peruntukan RM85.5 juta terhadap JASA yang disifatkan terlalu besar berbanding fungsinya yang hanya dikatakan sebagai alat propaganda kerajaan pemerintah.

Sementara itu Penganalisis Politik dan Media Sosial Prof Madya Dr Sara Chinnasamy dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata senario politik negara sudah berubah dan seharusnya rakyat turut mengubah cara mereka melihat agensi itu dari lensa politik yang lama.

Katanya selepas ini Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menjelaskan dengan teliti peranan fungsi J-KOM yang sebenarnya berbanding dengan entiti lain seperti Jabatan Penerangan, memandangkan jumlah peruntukan untuk J-KOM dalam Belanjawan 2021 yang agak besar bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir oleh rakyat.

Bagi memantapkan komunikasi dua hala, beliau turut menyarankan J-KOM mengadaptasi teknologi penyepaduan (convergence) terkini dari segi penerimaan maklum balas, iaitu bukan setakat menerima sahaja, tetapi juga menyampaikan maklumat yang benar-benar berkesan.

“Gunakan platform media sosial yang maksimum di kawasan bandar dan jangan terlepas pandang rakyat di luar bandar yang mana memerlukan banyak kaedah penyampaian dilakukan dalam bentuk komunikasi bersemuka atau dua hala melalui program sentuhan rakyat.

“Menggunakan 100 peratus media sosial pun tak guna sebab bagaimana dengan kawasan pedalaman dan tempat yang tiada akses internet. Jadi ia akan berbalik kepada isu pembangunan oleh rakyat terhadap kerajaan atau pemimpin di satu-satu kawasan,” katanya.