Jabatan Hutan Sarawak rampas 53 batang kayu balak di Jalan Pasai Siong, Sibu

KUCHING: Sebanyak 53 batang kayu balak pelbagai saiz dan spesis telah dirampas oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dari ibu pejabat dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am.

Pengarah JHS, Datuk Hamden Mohammad berkata dua buah lori yang membawa muatan balak itu telah ditahan di kawasan Jalan Pasai Siong, Sibu pada jam 11.00 malam hari Selasa.

Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 75,000 dengan nilai kayu tersebut sebanyak RM10,000 berdasarkan nilai royalti semasa manakala dua buah lori berkenaan dianggarkan bernilai RM 65,000.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, didapati kayu balak yang dibawa oleh lori tersebut tidak mempunyai dokumen yang dikeluarkan oleh JHS.

“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 96 (1), Ordinan Hutan 2015 (Bab 71). Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM 150,000 atau penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, sekiranya pelaku didapati bersalah kerana melakukan kesalahan sama yang berulang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Disamping itu, tambah Hamden, kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 97(a) ordinan yang sama dan jika sabit
kesalahan, penalti akan dikenakan dua kali ganda bagi nilai rampasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut berkata, selaras dengan fungsi dan tanggungjawab JHS dalam menjaga dan memelihara hutan.

Jelasnya, jabatan ini akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan hutan sama ada melalui operasi darat, sungai dan udara bertujuan bagi memastikan tiada aktiviti pembalakan haram di lakukan di negeri
ini.

“Tindakan lebih drastik di bawah peruntukkan Ordinan Hutan 2015 akan dikenakan terhadap mana-mana individu
atau syarikat yang didapati bersalah menjalankan aktiviti pembalakan haram.

“JHS menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai segala kegiatan pembalakan haram yang berlaku di mana-mana kawasan hutan negeri bagi membolehkan JHS mengambil tindakan terhadap kegiatan tersebut,” ujarnya.

lori yang membawa muatan balak telah ditahan pada jam 11.00 malam di kawasan Jalan Pasai Siong, Sibu.

 

Dua buah lori yang dengan muatan kayu balak dirampas oleh JHS dengan kerjasama PGA.

Suara Sarawak