KUCHING : Warga emas tidak diberikan suntikan vaksin rabies di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 3 Jun lalu telah diberi perhatian dan rawatan yang sewajarnya sepanjang tempoh mangsa berada di hospital berkenaan.
Demikian jelas Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck ketika mengulas mengenai isu yang tular mengatakan terdapat warga emas yang mengalami kesukaran mendapatkan rawatan di HUS akibat gigitan anjing peliharaannya.
Berdasarkan hasil siasatan katanya, wanita tersebut telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HUS pada 3 Jun lalu, jam 10 pagi, atas kecederaan gigitan anjing peliharaan sendiri.
“Mangsa telah dirawat di Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Penilaian risiko ke atas beliau telah dijalankan dan mengesahkan ia sebagai berisiko rendah berdasarkan maklumat bahawa anjing tersebut adalah anjing peliharaan beliau yang hanya berada di dalam kawasan rumah beliau yang berpagar serta tidak mempunyai gejala rabies.
“Selain itu kita juga menafikan bahawa tiada isu berkaitan kekurangan pegawai perubatan untuk memberi rawatan seperti yang dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dr Ooi lagi, wanita warga emas terbabit juga telah diberikan janji temu ke perkhidmatan Klinik Gigitan Anjing pada 6 Jun 2023 untuk penilaian selanjutnya.
Ujarnya, JKN Sarawak juga akan terus memberi kerjasama dan sentiasa sedia membantu terutama dengan memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat.