Jabatan Kesihatan telus lapor jumlah kes positif

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mempunyai masa tertentu dalam penyediaan laporan setiap hari, kata Pengarahnya Dr Chin Zin Hing.
Menurutnya, angka positif Covid-19 yang tidak konsisten bergantung kepada waktu data itu disiapkan dan sedia untuk dikeluarkan.
“Seiring bertambahnya jumlah kes positif di negeri ini, ia sudah tentu mencabar untuk menyediakan laporan harian bagi menggambarkan masa sebenar pesakit didiscaj dan mendaftar masuk,” katanya semalam.
Beliau mengakui, terdapat kelewatan waktu perolehan keputusan dalam beberapa minggu ini berikutan peningkatan jumlah kes positif hasil operasi pengesanan aktif dan pengesanan kontak yang dilaksanakan untuk menyaring dan mengasingkan kes.
“Ini terbukti apabila jumlah kluster dan kes yang muncul begitu banyak di seluruh Sarawak terutama di Bahagian Sibu dan Miri.
“Kami memohon maaf atas salah faham atau maklumat yang salah hingga menyebabkan orang ramai tidak percaya dan panik dengan data harian yang dilaporkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menjawab surat kepada editor yang diterbitkan salah sebuah portal dalam talian semalam daripada orang awam bernama Dr Gabriel, mengenai laporan tidak tepat jumlah pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Hospital Sibu.
“Kita memahami bahawa laporan tepat dan telus harus dikongsikan dengan orang awam. Sesungguhnya, mungkin laporan kami mempunyai kelemahan.
“Kita juga menilai dengan baik perbezaan katil yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 termasuk katil di Pusat Kuarantin dan Kes Berisiko serta di hospital yang ditetapkan.
“Namun Jabatan Kesihatan Negeri sentiasa bekerja keras sepanjang masa bagi menyelaras dan menguruskan keperluan, memastikan kemudahan katil mencukupi untuk pesakit Covid-19,” katanya.
Tegasnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) juga berusaha meningkatkan kemudahan kesihatan dan katil di seluruh Sarawak sebagai persediaan awal.
Dalam surat tersebut, Dr Gabriel juga melakukan analisisnya dan meminta data lebih telus dilaporkan serta mencari keadilan mengenai seorang pesakit berusia 35 tahun yang dilaporkan meninggal dunia kerana Jabatan Kesihatan tidak memberi perhatian perubatan.
Mengenai kes itu Dr Chin berkata, pesakit tersebut disaring rT-PCR pada 16 Januari lalu dan menerima rawatan hingga keputusan diterima sebelum meninggal dunia pada 22 Januari kerana pesakit itu mempunyai komorbiditi.
Tambah Dr Chin, Jabatan Kesihatan sentiasa mengambil langkah diperlukan serta mematuhi potensi risiko Covid-19 semasa merawat pesakit.

Suara Sarawak