Siti Nur Hidayah Abdullah

MULA menulis 2004 hingga sekarang. Setakat 2022 beliau menghasilkan dua novel, 42 cerpen eceran, 30 puisi, 20 esei kritikan, sebuah kumpulan cerpen dan empat antologi, diterbitkan dalam pelbagai media cetak seperti majalah Dewan Bahasa dan Pustaka, akhbar Berita harian, akhbar mingguan Malaysia, ITBM, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan lain-lain. Antara pencapaian tertinggi yang pernah diraih dalam bidang penulisan ialah memenangi tempat pertama berturut-turut dalam sayembara penulisan hari guru peringkat Negeri Sarawak, menerima Hadiah Sastera Penulis Sarawak dan Hadiah Sastera Utusan pada 2015 dan 2016. Pengarang berbangsa Iban dan karya yang dihasilkan cenderung kepada kearifan tempatan terutama dalam penulisan cerpen. Hal ini bertujuan mengangkat budaya bangsa Iban khususnya dan budaya yang ada di Sarawak amnya.
DIA bercekak pinggang memandang tanah yang sedang menghijau.
Tidak pernah dia terfikir perkara itu akan terjadi.
Sekuman pun tidak.
Namun jauh di sudut hatinya dia berasa syukur dan bangga. Bangga kerana ada seorang cucu yang mahu dan berani menyahut cabarannya.
Maka tidak sia-sialah usaha dan keringatnya dahulu, memugar, menebas dan berhuma.
Fikir dia dahulu, semuanya untuk anak cucunya.
Entah mengapa, daripada lima orang anak dan berbelas cucunya, hanya Jabbar yang meminati tanah yang bakal ditinggalkannya kelak.
Pernah suatu ketika, anakanak lelakinya mahu bertakik dan bercandung juga kerana berebutkan tanah pusakanya yang dua ekar itu.
Oleh sebab sedih dan kecewa dengan sikap anak-anaknya, maka dia mengeluarkan titah.
Tanah itu akan menjadi pemilik siapa-siapa dalam kalangan anak cucunya jika ada yang mengusahakannya.
Jika hanya mahu menjadi pemilik tanpa mengusahakan apa-apa dia tidak rela, kerana dia tahu penhujungnya kelak tanah itu akan terjual jua. Itu dia enggan.
Dia enggan keringat dia dan isteri puluhan tahun lalu hanya sia-sia dan akhirnya menjadi milik orang juga.
Mujur ada Jabbar.
Tapi, Jabbar ini juga satu hal juga buatnya.
Fikirannya lain benar daripada cucu-cucnya yang lain.
Hendak dimarahnya Jabbar, apabila difikirkan kembali, apalah salahnya pula?
Dalam hitung-hitung fikir itu, akhirnya dia berdamai sahaja dengan keadaan dan fikiran Jabbar.
Satu-satunya cucu lelaki yang begitu rapat dengannya.
Satu-satunya cucu lelaki yang gemar pulang ke kampung ketika musim cuti persekolahan, ketika zaman persekolahannya. Cucu yang lain?
Ada… bukan tidak ada.
Balik ke kampung, pada musim cuti sekolah sahaja? Ada… bukan tidak ada.
Tapi jarang-jarang sekali, paling tidak cuti sekolah hujung tahun.
Itu pun tidak lama, sehari dua di kampung, sudah menggelisah bagai cacing kepanasan. Serba tidak kena.
Serba tidak cukup di rumahnya. Bukan di rumahnya mandi air perigi.
Air paip sudah tersedia dan semuanya serba ada.
Namun itu tidak cukup juga untuk membuatkan mereka betah di kampung.
Tapi Jabbar ini memang lain sedikit.
Tidak kira cuti sekolah.
Malah hujung minggu pun Jabbar menjenguknya di kampung.
Seperkara lagi perihal aneh yang membungkus tempurung mindanya.
Si Jabbar ini gemar berkebun.
Jabbar tidak betah berlama-lama di rumah.
Masanya banyak dihabiskan dikebun bersamanya.
Tidak kira berpanas dan berhujan.
INTIM DENGAN TANAH
Pada takat usianya yang baru menginjak 17 tahun ketika itu, jarang benar ada anak muda seperti Jabbar yang begitu intim dengan tanah.
Itu… tanah seluas dua ekar di belakang rumahnya itulah menjadi bukti. Jadi saksi. Selepas pulang dari luar negara dan bekerja, tanah ini, habis ditanam semuanya ubi.
Daripada dua ekar menjadi lima ekar. Sebanyak tiga ekar lagi dibeli dengan hasil tabungannya sendiri.
Mujur ada juga yang mahu menjual tanah yang bersempadan dengan tanahnya.
Selepas ubi, dari tanahnya ditumbuhi rumput dan lalang, eloklah ditanam pula ubi keledek Jepun, kata Jabbar.
Dia iyakan sahaja dengan lipatan kerutan di dahi. “Kenapa Jabbar hendak menanam ubi?
Kenapa tidak tanam pokok buah-buahan saja? Bukankah hasilnya lebih lumayan kelak,” tanya dia, ketika mereka erehat di pangkin hadapan rumah.
“Lambat Tok… ubi kayu dan keledek lebih cepat mengeluarkan hasil.
Sekarang ini ada sejenis ubi kayu bernama ubi tiga bulan.
Tok pernah dengar?
Tiga bulan sahaja ditanam… sudah mengeluarkan buah Tok.
“Buahnya pun lebih empuk.
Ubi keledek ni pun sama.
Isinya berwarna ungu dan rasanya lemak manis Tok.
Ramai orang suka.
Kalau betul cara menjaga dan diberi Baja secukupnya, buahnya pasti lebih banyak.
Lagipun tanah kebun kita memang sesuai untuk tanaman ubi dan keledek.
Tanahnya agak berpasir.
Gembur dan subur.”
Begitu penerangan Jabbar.
Dia, buat-buat mengerti, tapi adalah juga butir yang sangat dia tidak fahami.
“Betul ke kamu ni?
Tok tidak setuju kalau tanah seluas itu ditanam ubi sahaja, baik tanam pokok buah-buahan lain juga.
Pokok durian, langsat, manggis dan lain-lain.
Hidup lama.
Hasil banyak,” tanya dia dalam cadang.
“Eh… betullah, Tok.
Tok percayalah cakap Jabbar.
Silapsilap kerana ubi dan keledek ni,
kita boleh jadi terkenal nanti. 1 Malaysia kenal kita,” usik Jabbar dalam tawa.
“Ah! Ada-ada saja, kamu Jabbar.” Dia mendengus seakan-akan tidak berpuas hati dengan keputusan dan kehendak Jabbar.
“Boleh saja kalau tanam pokok buah-buahan lain Tok.
Kita tanam di sekelilingnya. Sekali gus menjadi sempadan tanah.
“Jabbar faham maksud Tok itu, pokok itu kita tanam untuk jangka panjang.
Di tengahtengah tanahnya kita tanam ubi dan keledek untuk hasil jangka pendek.
“Apa kata orang tok, berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak? Hah!
Begitulah kiranya,” ujar Jabbar penuh semangat.
“Hish! Tak fahamlah Tok, cara fikir kamu, Jabbar. Hendak dibuat apa ubi dan keledek banyak-banyak.
Kalau suka makan ubi dan keledek pun, tidaklah mahu Tok makannya hari-hari.
“Puas benarlah Tok makannya zaman Jepun dahulu. Sudah tak lalulah Tok hendak memakannya,” omelannya disambut dengan ketawa oleh Jabbar.
Tapi dalam pada mengomel, diturutkan juga kehendak Jabbar itu.
Entah apa yang difikirkan oleh Jabbar sukar benar hendak dia mentasdik pemahaman.
Tapi… daripada tanah itu terbiar begitu sahaja, maka baiklah ada yang mengusahakannya.
Maka di mata dia, hanya Jabbar yang berani, sanggup dan berminat. Maka di situlah termeterai segala janji dan penyerahan tanah pusaka kepada Jabbar.
Jabbar benar-benar mengerah tulang empat kerat, berpeluh keringat dan berhabis duit ringgit untuk tanahnya itu.
Dan kerana sikap Jabbar itulah juga yang menumbuhkan kembali semangat untuk dia berkebun.
BERMANDI PELUH
Biarlah hanya berkebun ubi dan keledek sahaja.
Biarlah. Pagi dan petang ada juga tempat dia bersenam sambil bermandi peluh, walaupun sudah tidak segagah dahulu.
Namun apalah juga hendak dilelahkan, segalanya Jabbar usahakan menggunakan jentera.
Bukan seperti zaman dia dahulu, semuanya bergantung tulang empat kerat.
Menebas, memugar, bercucuk tanam, meracun dan membaja.
Semuanya tenaga manusia.
“Tok…siapa kata kita hendak makan ubi kayu dan keledek hari-hari.
Lama-lama nanti… kita pun jadi ubi juga dibuatnya,” Kata Jabbar sambil ketawa.
Dan ketawa Jabbar itu memancung ingatan lalunya.
“Habis tu… yang Jabbar tanam pokok ubi dan keledek ni, bagai hendak makan tujuh keturunan kenapa?
Hish! Peliklah Tok. “Orang lain sibuk tanam kelapa sawit sebab hasilnya lumayan.
Tapi kamu? Tanam ubi.
Betul-betul Tok tak faham,” dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Haa… itulah beza Jabbar dan orang lain Tok.
Hendak berjaya, kita mesti berani berfikir lain daripada lain.
Tanam kelapa sawit memang lumayan.
Tapi… belum tentu juga Tok.
Silap- silap boleh lingkup juga, kalau tidak kena caranya,” ujar Jabbar.
“Tanam kelapa sawit memang lumayan tok.
Tapi hendak menjaganya cerewet dan kos mengurusnya mahal.
Apalagi kalau pada permulaan penanamannya.
Banyak belanja.
“Kena beli racun, baja, kalau kena penyakit lain pula racunnya.
Tuaiannya juga lambat.
Kalau sudah mengeluarkan buah, Tok hendak menyandaknya? Jabbar?
“Aduh… Tok. Bukan kerja mudah. Tak larat Jabbar Tok.
Mahu patah tiga tulang belakang Jabbar ni, ha,” sambung Jabbar.
“Laa… sama juga macam Jabbar tanam ubi tu ha… semuanya duit juga,” kata dia enggan mengalah.
“Haa… ubi dan keledek ni lain Tok.
Semula jadi sifatnya.
Tahan penyakit dan tidak perlu dimanja sangat.
Tabur baja sekali-sekala sahaja.
Kemudian kita beli baja pengemuk buah, supaya buahnya lebih besar dan sihat.
Kalau hendak jimat, hah! Tahi ayam di reban Tok tu pun boleh dibuat baja.
“Sama juga dengan keledek.
Batang ubi… batang keledek, tak perlu tanam berbaris macam pokok kelapa sawit.
Campak sahaja pun tumbuh Tok.
Tidak perlu penjagaan yang rapi sangat. “Mudah.
Senang.
Hasil pun lebih cepat daripada kelapa sawit. Macam yang Jabbar katakan tadi, sekarang ini, ada sejenis ubi, tiga bulan sahaja sudah mengeluarkan buah.
Nanti kita cari pokoknya di mana-mana atau kita beli.”
Begitu penerangan Jabbar.
INTERNET
Penerangan Jabbar yang agak panjang, membuatkan mulutnya ternganga juga sehingga menampakkan baris giginya yang telah lompang sana sini.
“Di mana Jabbar belajar semua ini?
Bercakap macam serba tahu sahaja, ilmunya dari mana?” tanya dia sangsi.
“Haaa… itu rahsia yang Tok kena tahu.
Zaman sekarang, zaman ICT Tok. Semuanya berada di hujung jari sahaja.
Yang penting, ada komputer dan jaringan Internet, paling tidak pun ada telefon bimbit yang membolehkan kita melayari Internet.
“Kalau sudah ada keduaduanya, ibarat macam dunia ini kita punyalah…” usik Jabbar dengan ketawa lagi.
“Itu adalah Tok dengardengar bunyi… net… net… tu. Tapi tidaklah Tok berapa hendak faham maksudnya.
Maklumlah Tok ni bukan sekolah tinggi seperti kamu, Jabbar. Setakat darjah 5 saja.
“Ni ha… telefon ni, Pak Long kamu yang belikan.
Mudah katanya nak cari Tok di mana-mana.
Nak guna pun, Tok tahu tekan nombor dan jawab telefon sahaja.
Membaca mesej, sikit-sikit tu bolehlah.
Tapi Tok tidak tahu hendak membalasnya.
Yang Tok tahu, bekebun sajalah. Tok ni sudah tua, Jabbar… tak perlulah belajar semua tu.”
“Ish… tak boleh Tok.
Selepas ini Tok kena belajar juga.
Kalau kebun kita ini sudah mengeluarkan hasil.
Jabbar hendak buat promosi besar-besaran.
Mungkin pada mulanya, nak dapatkan pasaran tu susah sedikit.
Kemudian Jabbar akan buat juga pelbagai promosi melalui laman sembang Facebook, Instagram, WhatsApp dan banyak lagilah Tok.” ujar Jabbar teruja.
“Apa bendalah yang kamu sebutkan tu Jabbar.
Sepatah haram Tok tidak tahu.”
“Tidak mengapa. Nanti Jabbar ajar Tok perlahan-lahan, ya.
Tidak susah Tok, senang saja.”
“Hmm… yalah.
Tidak susah bagi kamu, tapi bagi Tok yang sudah keriput dan berkarat ini, bagaimana?” ujarnya.
“Tok… Zaman Tok dahulu lain.
Kalau hendak berniaga perlu ada gerai. Kedai. Restoran.
Paling tidak pun menjaja dari rumah ke rumah.
“Zaman sekarang pun sama juga. Tapi dengan adanya teknologi yang Jabbar sebutkan tadi, pasaran menjadi lebih luas.
Silap-silap kita boleh pasarkan produk kita sampai ke luar negara.
Tok pernah dengar perniagaan dalam talian?”
“Adalah juga Tok mendengarnya, tapi tak berapa hendak faham jugalah, Tok.”
“Ha… itulah yang hendak Jabbar buat sekarang Tok.
Kita buat perniagaan dalam talian.
Kita jual produk mentah.
Buat masa ini kita pasarkan dulu buah ubi dan keledek.
Kalau ada kemajuan… kita tanam pula yang lain.”
“Ada ke… yang hendak membeli ubi dan keledek kita ni Jabbar …? Ish!
Risau Tok.
Tanam bukan sedikit, lima ekar, Jabbar.
Orang kampung kita ini, kalau setakat hendak makan sendiri, tu… di rumah masingmasing.
Bukan sikit-sikit ubi.
Tidak termakan.”
“Haa… itulah silapnya Tok.
Siapa kata kita hendak jual kepada penduduk kampung?
Kalau kita buat blog atau pasarkan dalam Facebook, misalnya.
Seluruh dunia boleh tengok dan baca Tok.
“Macam yang Jabbar cakapkan tadi, silap-silap nanti sampai ke luar negara hasil ubi dan keledek kita.
Kalau Tok hendak tahu, Sekarang ini, ubi dan keledek bukan untuk dibuat kerepek dan cucur sahaja Tok.
“Malah ada syarikat tempatan kita menjalankan kajian menggunakan ubi kayu, kita boleh menghasilkan pinggan dan sarung tangan pakai buang yang mesra alam.
Hah! Hendak buat semua tu… bukan perlukan sepokok dua ubi. Banyak Tok…”
“Ya…Ya… Tok pernah tengok dalam TV dahulu.
Apa nama tu… program do…do… kumen…kari?” “Dokumentari Tok,” Jabbar meledakkan lagi ketawanya.
“Hah! Begitulah bunyinya. Kalau tidak silap Tok, nama syarikat tu HNI, nama pemiliknya Ramaness Parasuraman berbangsa India.
Katanya pinggan yang dibuat menggunakan ubi kayu, memang bagus. Boleh dilupus dalam masa 28 hari dan boleh dimakan pula tu.
Kagum Tok.
“Pinggan yang dijualnya tu, bukan saja di negara kita, nun… sampai ke Amerika.
Dia bukan sahaja buat pinggan, dia buat sudu, garpu dan banyak lagilah.
Tak ingat Tok. Tapi, Tok tumpang banggalah… kalau ada anak Malaysia yang mampu berniaga sampai ke luar negara.”
Tiba-tiba disapa semangat apabila memperkatakan perihal kemajuan anak Malaysia.
“Haa… sekarang baru Tok tahu. Kenapa Jabbar hendak tanam ubi banyak-banyak.
Dengan adanya Internet semuanya menjadi mudah. Tok fikir, encik Ramaness tu jual produk dia di kedai-kedai sahaja?
Atau jual dari rumah ke rumah atau di kampungkampung saja? Tidak Tok.
Ini semua kerana Internet. Siapa tau suatu hari nanti, ubi dan keledek kita begitu juga kan?”
Fikirannya kemudiannya bergentayangan ke manamana sahaja.
Namun tidaklah lama apabila suara Jabbar menerpa gegendang telinganya.
Jabbar datang sambil menolak kereta sorong. Beberapa pekerjanya juga sudah jauh mendahului.
Maka fahamlah dia. Entah berapa lama dia sudah tercegat di situ pun dia kurang cerat.
“Hah! Berapa kilo pula kali ini?” tanya dia sambil bercekak pinggang memandang Jabbar yang sudah bermandi peluh.
“Lumayan Tok. 200kg ubi untuk kedai kerepek kak Saleha di pekan. Tauke Leong mahu 200kg keledek juga.
Paling bagus, esok ada syarikat makanan ringan di Kuching mahu kita tandatangan kontrak sebagai pembekal tetap ubi dan keledek kepada kilang mereka.
Esok pagi kita ke sana.
“Lusa, Tauke Leong ajak kita berjumpa dengan rakan kongsi dia.
Katanya, rakannya itu pengusaha kilang tepung, mungkin berminat nak kerjasama dengan kita juga nanti,” ujar Jabbar bersemangat.
“Hah! Yalah.” jawab dia sambil bercekak pinggang juga.
Dia mengeleng-gelengkan kepala.
Ternyata, usaha Jabbar tidak sia-sia. Maka benarlah juga seperti yang telah dijanjikan, sesiapa yang berusaha pasti berjaya.