Jadi agen pembangunan pelajar

KUCHING: Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Komuniti Kuching 2021/2022 diminta bertindak sebagai agen pembangunan sahsiah, akademik dan kokurikulum kepada rakan-rakan pelajar yang lain.

Pengarah Kolej Komuniti Kuching, Suharyati Sulaiman berucap demikian semasa menyampaikan amanat ketika Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar sempena Program Smart Leadership AJPP 2021 anjuran Unit Pembangunan Pelajar semalam.

Menurut beliau, JPP seharusnya berperanan untuk mengenal pasti isu serta cadangan daripada rakan pelajar untuk diangkat dan dipanjangkan kepada pihak pengurusan kolej demi kepentingan pelajar dan institusi.

“JPP boleh berperanan sebagai pemudah cara kepada rakanrakan agar dapat membentuk sikap dan jati diri kepimpinan dalam diri masing-masing ,” tambah beliau. Seramai 10 pelajar menghadiri Program Smart Leadership JPP 2021 dan mereka merupakan calon yang memenangi Pilihan Raya Kampus pada 7 April lalu dan mendapat mandat oleh pelajar untuk memimpin JPP kali ini.

Program tersebut diadakan untuk memberi pendedahan serta membentuk barisan Kabinet JPP agar bersedia dalam aspek kepimpinan ke arah pembentukan jati diri yang cemerlang.

Terdapat pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program yang berlangsung iaitu taklimat kepimpinan dan keterampilan diri, penyediaan kertas kerja serta tanggungjawab setiap jawatan yang terdapat dalam JPP.

Sementara itu, Vicror Verandel Pewau yang dilantik sebagai Yang Dipertua JPP 2021/2022 menyatakan kesediaan untuk menjalankan mandat dan tanggungjawab yang diberikan.

Beliau yang berasal dari Belaga, Kapit merupakan pelajar semester dua, kursus Sijil Teknologi Senibina berkata, beliau akan menjadi suara kepada kepada rakan pelajar yang lain agar dapat bersama-sama mencapai kejayaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pengurusan Ts. Liew Foong Ching dan Pegawai Pembangunan Pelajar Mervin Gumba Sigai.

Suara Sarawak