Jadi belia berguna kepada negara

SERIAN: Sekiranya mahu melihat keadaan negara pada masa hadapan, lihatlah keadaan belia hari ini, tegas Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, jika belia ataupun generasi muda terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah termasuk masalah sosial, ia akan mempengaruhi kepimpinan sesebuah negeri dan negara pada masa akan datang.

“Sehubungan itu, kementerian kami bertanggungjawab untuk memastikan belia akan menjadi pewaris serta pelapis kepimpinan dalam masyarakat, negeri serta negara.

“Maka Program Jelajah Belia ini diwujudkan untuk merapatkan hubungan kementerian kami dengan belia untuk melihat setiap aspirasi mereka yang merupakan golongan penting dalam pembangunan negara,” katanya berucap pada Program Jelajah Belia Sarawak 2020 di Dewan SMK Balai Ringin Serian, kelmarin.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menasihati belia agar jangan mudah berasa tiada keupayaan memimpin.

“Setiap seorang belia berpotensi menjadi pemimpin seperti kita melihat individu yang memegang jawatan penting dalam jabatan dan pelbagai agensi. “Jika tidak dapat menjadi pemimpin dalam pentadbiran negara, setidak-tidaknya belia mampu menjadi pemimpin di syarikat mahupun agensi.

Paling penting menjadi pemimpin keluarga apabila mendirikan rumah tangga nanti,” jelasnya. Selain itu jelasnya lagi, kementeriannya diamanahkan untuk memastikan belia berjaya dalam kehidupan.

“Jangan ada belia berasa rendah diri kerana kekurangan dan kesukaran hidup. Jangan pernah ada perasaaan tersebut, tanamkan dalam diri untuk berjaya. Ada pemimpin hari ini asalnya daripada keluarga susah,” tambahnya.

Abdul Karim berkata, kementeriannya mempunyai program Youth Invention Capital yang kini masih mempunyai dana RM9 juta untuk pembangunan keupayaan diri dalam pelbagai bidang antaranya seni, muzik dan sebagainya.

Suara Sarawak