Jadi ikon kaum sendiri

KUCHING: Program Pendidikan Komuniti Penan (PCEP) berjaya melahirkan ikon daripada kaum minoriti yang mengangkat jati diri komuniti Penan untuk bergerak ke hadapan.

Perkara ini terbukti apabila bilangan keciciran pelajar ke sekolah dalam kalangan komuniti Penan semakin berkurangan dan jumlah melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi bertambah.

Penyelarasnya Dr Abang Ismail Abang Julhi berkata, PCEP dilaksanakan selama sepuluh tahun sejak 2010 hingga 2020 untuk melatih 100 anak Penan menjadi pendidik.

“Apabila guru Penan ditempatkan di sekolah di dalam kawasan mereka sendiri, kita dapat melihat dengan jelas, pelajar menjadikan mereka ikon.

“Sejak program ini dilaksanakan, peratusan kehadiran pelajar mencatatkan peningkatan kerana dahulu kadar keciciran pelajar Penan sangat tinggi.

“Selain itu, bilangan mereka yang melanjutkan pendidikan ke sekolah menengah juga bertambah berbanding dahulu… sangat sedikit,” katanya kepada Suara Sarawak.

Abang Ismail menambah, melalui PCEP mereka akan menjejaki anak Penan yang tamat SPM untuk direkrut memasuki IPG.

“Kita adakan temu bual terbuka dan memberi penerangan mengenai Ijazah Sarjana Muda Pemulihan yang ditawarkan.

Tempoh pengajian ialah lima tahun-tahun pertama untuk program persediaan asas manakala empat tahun lagi untuk program ijazah sarjana muda.

“Segi syarat kemasukan, pelajar itu hanya perlu mendapat enam kredit dalam mana-mana subjek, minat menjadi guru, aktif dalam kokurikulum dan sudah pasti warganegara,” jelasnya.

Menurut Dr Abang Ismail, Daerah Baram mempunyai 22 penempatan Penan, Daerah Belaga enam penempatan Penan, Bintulu dua penempatan Penan dan Limbang hanya ada satu penempatan Penan.

Abang Ismail yang juga Pensyarah Kanan IPG Batu Lintang berkata, PCEP turut melibatkan ibu bapa pelajar Penan melalui program Kemahiran Keibubapaan.

“Setiap kali kita turun ke lapangan, kita melibatkan golongan pakar pelbagai agensi seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara, UiTM dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ada komuniti Penan perlu rawatan kesihatan, tiada warganegara dan sebagainya. “Program ini menyeluruh kerana kita mahu komuniti Penan setanding komuniti lain di Sarawak,” katanya.

Suara Sarawak