Jadi pemain utama minyak dan gas

KUCHING: Sebanyak 10 syarikat di bawah Persatuan Kontraktor Petroleum Sarawak (Speca) bekerjasama dengan Speca Konsortium Sdn Bhd untuk menjadi pemain utama dalam industri minyak dan gas.

Pegawai Eksekutif Speca Konsortium Sdn Bhd Datuk Rahman Lariwoo berkata, antara syarikat tersebut ialah Dumas Holdings Sdn Bhd; Konsortium Bumi Consultants and Services; Astaka Consulting Engineers Sdn Bhd; Petro Parts Sdn Bhd; Precise JV Resources Sdn Bhd; EPC Synergy Sdn Bhd; Pelangi Indah Engineering Sdn Bhd; Fastart Sdn Bhd; BMECH Construction Sdn Bhd dan Worldbay Diversified Sdn Bhd.

“Dengan penubuhan konsortium ini, kami berharap ia dapat memberikan peluang kepada ahli-ahli Speca untuk terlibat aktif dalam industri minyak dan gas di perairan Sarawak.

“Ia sekali gus boleh menjadikan mereka sebagai pemain industri minyak dan gas utama di negeri ini,” katanya pada sidang media Speca selepas mesyuarat di Dumas Holdings Sdn Bhd, di sini pada Jumaat.

Beliau berharap dengan danya konsortium itu, banyak peluang dalam industri minyak dan gas dapat diperoleh daripada syarikat gergasi seperti Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Petroleum Sarawak Berhad (Petros), Shell dan lain-lain.

“Justeru, kami juga memerlukan sokongan daripada Kerajaan Sarawak dan berharap mereka dapat membantu Speca Konsortium Sdn Bhd menerusi Petros supaya kami dapat menjadi pemain utama industri minyak dan gas di negeri ini.

“Selain itu, kami juga berharap Petronas dapat  membantu dengan memberikan lebih banyak peluang kepada syarikat minyak dan gas Sarawak untuk menerokai industri minyak dan gas di perairan negeri ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Speca Konsortium Sdn Bhd juga bekerjasama dengan tiga syarikat berpengalaman dalam industri minyak dan gas dari Korea Selatan iaitu KHPT Co Ltd, PMC Co Ltd dan Pasific Ocean Marine Industry Co Ltd.

“Ketiga-tiga syarikat ini mempunyai kepakaran dan aset yang mencukupi untuk industri minyak dan gas ini. “Kami juga telah menandatangani dokumen perjanjian untuk menjalinkan kerjasama dengan tiga syarikat tersebut, ia berlangsung secara maya,” jelasnya.

Menerusi mesyuarat yang diadakan itu, Speca Konsortium Sdn Bhd turut menandatangani dokumen perjanjian dengan 10 syarikat minyak dan gas tersebut.

Pada masa yang sama, ahli lembaga pengarah yang masing-masing mewakili 10 syarikat terbabit juga dilantik dalam Speca Konsortium Sdn Bhd.

Menurut Rahman, pada mesyuarat tersebut, Ir Jamel Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Speca Konsortium Sdn Bhd manakala Ahmad Sazali Annuar dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi.

Suara Sarawak