Jadi pengguna bijak

KUCHING: Pengguna harus bijak dalam membandingkan harga barangan yang tidak dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar tidak ditipu.

Menterinya Chong Chieng Jen memberi nasihat berkenaan kerana Malaysia mengamalkan sistem perdagangan terbuka untuk barangan mewah.

“Sebelum membeli barangan yang tidak dikawal oleh KPDNHEP, pengguna disarankan untuk membandingkan harga di kedai-kedai lain. “Kita mengamalkan sistem perdagangan terbuka apabila peniaga bebas menentukan harga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pengguna Sarawak anjuran Persatuan Suara Pengguna Sarawak di sebuah pasar raya terkemuka di sini semalam.

Menurut Chieng Jen, langkah pengguna yang membandingkan harga boleh mengelakkan mereka ditipu atau membayar harga lebih tinggi.

“Dalam kita membuat perbandingan harga, kita perlu juga meneliti kualiti barangan terbabit.

“Namun, tindakan sewajarnya akan diambil oleh pihak kementerian sekiranya harga diletakkan oleh peniaga tidak masuk akal,” jelasnya.

Dalam pada itu, dalam ucapannya, Chieng memberitahu, sebanyak 21,000 aduan yang diterima oleh pihaknya di seluruh negara tahun lalu.

“Aduan paling banyak yang kita terima adalah berkaitan dengan harga iaitu lebih 6,000 manakala transaksi e-dagang lebih 5,000 aduan.

“Ini menunjukkan pengguna semakin sedar akan hak masing-masing dalam membeli barangan,” ujarnya.

Mengulas mengenai ekspo terbabit Chieng Jen berkata, sebanyak 30 agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pameran dalam acara tiga hari itu.

Beliau turut menyampaikan geran berjumlah RM21,000 kepada tujuh badan bukan kerajaan (NGO). Hadir sama Presiden Persatuan Suara Pengguna Sarawak, Michael Tiong dan Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datum Stanley Tan.

Suara Sarawak