Jadi rakan Kerajaan Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus menjadikan media sebagai rakan dalam mentransformasikan negeri, masyarakat dan hala tuju pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana media memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat, kesedaran dan sebagainya kepada masyarakat.

“Kita mesti berjalan bersama-sama. Untuk itu, Sarawak telah mendapat manfaat daripada kerjasama antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Anugerah Kewartawanan Kenyalang Ke-32 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Abdullah Saidol turut hadir.

Abang Johari turut menyatakan penghargaan kepada media yang bertungkus lumus memberikan kesedaran mengenai Covid-19.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua wartawan yang membantu mewujudkan kesedaran itu,” katanya.

Ketua Menteri berkata, inisiatif kerajaan mempertingkatkan kemudahan telekomunikasi di Sarawak juga akan memberi manfaat kepada pengamal media.

Katanya, Kerajaan Sarawak kini sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi seperti Sacofa dan Telekom untuk menaik taraf rangkaian Internet kepada 5G.

“Dengan ini, anda (media) dapat menghantar berita tepat pada waktu.

“Perkara seterusnya adalah anda harus bersikap profesional dalam apa-apa sahaja yang dilakukan,” katanya.

Suara Sarawak