ARTIKEL

Jadikan Tanah Tinggi Borneo destinasi pelancongan terbaik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai visi untuk menjadikan Tanah Tinggi Borneo sebagai salah satu destinasi pelancong terbaik di negeri ini, bukan sahaja untuk pelancong tempatan tetapi juga luar negara.

Menurut ADUN Batu Kitang yang juga Pengerusi Kelab Penduduk Tanah Tinggi Borneo, Lo Khere Chiang, antara usaha untuk mencapai visi tersebut adalah dengan membina infrastruktur, kemudahan serta meningkatkan taraf keselamatan untuk pengunjungnya.

“Pujian juga turut diberikan kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kerana membantu kerajaan negeri mengekal dan menyelaras beberapa kemudahan di sini.

“Ia termasuk menjaga kemudahan padang golf, mengindahkan landskap, membina infrastruktur serta jalan masuk ke tanah tinggi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Malam Penghargaan Kelab Penduduk Tanah Tinggi Borneo, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar pusat peranginan tersebut menjadi pusat pelancongan dan riadah utama masyarakat tempatan.

“Anda boleh datang ke sini untuk beriadah dan menikmati kesejukan iklim serta keindahan pemandangan di tanah tinggi ini,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Datuk Dr Chai Khin Chung memberi jaminan bahawa pihak pasukan pengawal yang terlatih akan melakukan yang terbaik untuk sentiasa menjaga keselamatan dan kesejahteraan penduduk serta pengunjung kawasan tersebut.

“Kita menyediakan perkhidmatan keselamatan kepada keseluruhan pusat peranginan ini yang meliputi kawasan lebih 5,000 ekar dan bersempadan dengan Kalimantan.

“Ia termasuk menjalankan operasi memberikan vaksinasi kepada anjing di kawasan ini termasuk luar bandar,” tambahnya.

Sempena majlis tersebut, UKPS turut mengambil peluang menganjurkan aktiviti pembinaan pasukan dan untuk meraikan ulang tahun pertama perkhidmatan mereka.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU