ANGGOTA kumpulan K-Pop popular, Boynextdoor, Jaehyun, mengejutkan peminat apabila mendedahkan pengalaman hidup yang tidak pernah disangkanya sebelum bergelar idola.
Dalam satu siaran langsung di media sosial baru-baru ini, Jaehyun berkongsi bahawa dirinya pernah bekerja sebagai buruh sambilan di tapak pembinaan ketika berusia 20 tahun.
Menurut Jaehyun, kerja itu dilakukan sebelum debut dan menjadi antara pengalaman yang paling menguji ketahanan fizikalnya.
“Ia memang berat, tetapi pengalaman itu sangat berharga untuk saya,” ujarnya sambil mengimbau kenangan tersebut.
Namun, di sebalik cabaran itu, Jaehyun mengakui turut menerima layanan penuh kasih sayang daripada rakan sekerjanya.
Dia menceritakan bagaimana pekerja senior yang jauh lebih berusia sentiasa memastikan keselamatannya terjaga.
Jika ada tugas berat yang sukar dilakukannya, mereka akan segera tampil membantu tanpa banyak soal siasat.
“Kalau saya tidak mampu mengangkat barang berat, senior akan terus datang membantu dan melakukan kerja itu untuk saya,” katanya.
Bukan sekadar melindungi, rakan-rakan lamanya juga dikatakan sangat pemurah.
Mereka sering membelanjanya minuman setiap kali selesai bekerja sebagai tanda prihatin dan penghargaan.
Pengalaman itu disifatkan Jaehyun sebagai memori menyeronokkan dan membentuk dirinya menjadi lebih menghargai usaha serta kerja keras.
Pendedahan tersebut turut mengejutkan peminat yang kagum dengan kerajinannya serta sikap tidak memilih kerja sebelum mencapai kejayaan hari ini.






