ARTIKEL

Jaga adab di jalan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja.

Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari rezeki untuk menyara keluarga tercinta.

Bukan apa, menunggang motosikal mampu menjimatkan banyak masa untuk bergerak terutama pada waktu puncak.

Jika menggunakan kereta, kita akan terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Ini menyebabkan motosikal menjadi mod pengangkutan jauh lebih efisien dari segi pengurusan masa.

Bagaimanapun tahap efisien dicapai sebenarnya hadir dengan banyak pengorbanan dan kesan negatif yang jarang kita bincangkan secara terbuka.

Sebenarnya wujud beberapa amalan penunggang motosikal di Malaysia yang realitinya sangat berbahaya tetapi hingga ke hari ini, tiada mana-mana pihak berminat untuk mengubahnya.

Sering kita saksikan, ada penunggang motosikal tidak mahu mengikut aliran trafik.

Ketika memandu kereta, kita mungkin pernah berdepan dengan situasi ketika hendak keluar simpang, tiba-tiba ada motosikal datang dari belakang terus keluar simpang serentak menyebabkan kita terpaksa memberhentikan kereta.

Tidak semua penunggang motosikal di negara ini tidak mengikut aliran trafik, namun sikap segelintir pengguna yang kurang bertanggungjawab boleh membahayakan orang lain.

Terdapat penunggang motosikal yang beranggapan semua kenderaan perlu memberi laluan kepada mereka.

Di lebuh raya biasanya, semasa kebanyakan kenderaan bergerak mengikut had laju ditetapkan, sudah pasti akan muncul abang motor besar menunggang melebihi had laju dan pada masa sama menyelit di antara kenderaan yang ada.

Yang menjadi masalah, tunggangan secara laju itu berlaku tidak kira di lorong mana sekalipun sama ada kiri, kanan atau tengah.

Lebih bahaya apabila terdapat penunggang motosikal menyelit ketika trafik sesak.

Sehingga hari ini masih tiada penambahbaikan ketat atau peraturan tegas untuk penunggang yang menyelit secara laju dalam keadaan aliran trafik sibuk.

Sebaliknya di negara maju, terdapat undang-undang yang mengehadkan kelajuan penunggang motosikal dalam situasi sebegini dan biasanya di bawah 30km/j bagi memudahkan pemandu lain mengenal pasti kedudukan dan kelajuan penunggang menyelit.

Di negara kita, ada yang berani menyelit pada kelajuan 80km/j yang seakan-akan tidak takut bahaya.

Sikap menyelit sebegini sebenarnya sangat meresahkan pemandu kenderaan empat tayar atau lebih, kerana bimbang sekiranya kita gagal mengesan penunggang motorsikal sekiranya lorong perlu ditukar.

Terdapat situasi penunggang motosikal berhenti di kawasan tidak sepatutnya.

Memang bukan kesalahan untuk mereka berteduh ketika hujan, namun kadang-kadang tempat dipilih mengundang bahaya.

Penunggang yang mempunyai kesedaran mungkin memilih berteduh di ruang kas yang disediakan.

Tetapi masih ramai yang memilih jalan mudah — berhenti di tepi jalan terutama lorong kecemasan, membentuk gerombolan penunggang yang kadangkala melimpah ke lorong paling kiri sekali.

Tidakkah anda sedar situasi itu sangat berbahaya? Itu baru cerita kaedah berhenti semasa hujan.

Yang berkonvoi ramai-ramai pula, gelagatnya lain pula.

Mungkin kerana ramai, kumpulan sebegini merasakan mereka perlu berhenti di mana-mana saja yang boleh atau sesuai untuk menghilangkan penat, bergambar atau mungkin sesi mengopi dengan ahli kelab.

Satu lagi perangai penunggang motosikal yang menyusahkan orang ramai adalah enggan meletakkan motosikal mereka di parkir ditetapkan, sebaliknya diparkirkan di petak kereta, lori atau mungkin juga betul-betul depan laluan pejalan kaki dan OKU.

Lebih menyedihkan, terdapat penunggang yang berani menunggang melebihi had kapasiti dan tiada keselamatan.

Memang tidak dinafikan kemampuan kita berbeza, ada keluarga mampu beli kereta, ada hanya mampu membeli motosikal menyebabkan terpaksa ke hulu hilir menaiki motosikal.

Yang menyedihkan, kita dapat lihat situasi sama berulang iaitu ayah menunggang dengan si ibu memeluk erat anak yang masih kecil di belakang dan biasanya mesti ada seorang lagi anak di belakang sekali, memeluk erat ibu.

Dari segi keselamatan kapasiti, memang sudah gagal, tetapi paling mendukacitakan apabila ayah dan ibu ada topi keledar tetapi anak-anak dibiarkan tanpa perlindungan kepala.

Kita dapat saksikan ada dalam kalangan penunggang motosikal gemar menyalahkan orang lain sedangkan kesalahan yang berlaku berpunca daripada mereka sendiri.

Antara banyak punca penunggang motosikal sering dibicarakan dalam nada negatif, punca utamanya adalah disebabkan sikap sendiri yang sering melihat mereka mangsa keadaan — sehingga menyebabkan mudah menuding jari menyalahkan orang lain seandainya kecelakaan berlaku.

Walhal realitinya majoriti penunggang motosikal di Malaysia sudah membiasakan diri menunggang dengan kaedah tidak selamat sehingga menganggap sebarang perubahan atau pengenalan kepada kaedah selamat dan berisiko rendah tidak patut dibuat.

Anda menyelit pada kelajuan tinggi ketika trafik sesak dan ada kereta menukar lorong menyebabkan anda terpaksa berhenti mengejut.

Siapa salah sebenarnya dalam situasi itu?

Cuba fikirkan, kalau anda penunggang motosikal?

Banyak kereta beratur hendak keluar simpang, tiba-tiba anda laju ke depan dan tidak sabar-sabar keluar dulu.

Siapa sepatutnya yang ada hak untuk keluar dulu?

Anda atau kereta tersebut yang beratur?

Penguatkuasaan undangundang kita lemah.

Budaya menunggang kita lemah.

Tabiat penunggang setelah sekian lama menunggang, sebenarnya mengundang padah.

Namun malangnya tidak nampak apa-apa usaha untuk kita membudayakan pemanduan lebih berhemah atas jalan raya.

BERITA LAIN

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

Kosong-kosong

ESOK, umat Islam seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maka berakhirlah perjuangan sebulan Ramadan. Syawal tiba sebagai hadiah kepada umat Islam yang berjaya menempuh

Lempar batu, sembunyi tangan

APAKAH yang mengecewakan anda sebagai rakyat Malaysia ketika ini? Adakah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pendapatan yang rendah, peningkatan inflasi atau kos sara hidup yang tinggi? Atau

Resolusi 2728

KETIKA Dewan Keselamatan PBB menyetujui resolusi menuntut gencatan senjata segera dikuat kuasa di Gaza, lebih 33,000 rakyat Palestin sudah pun terbunuh dengan hampir 76,000 cedera

Jangan mudah tergoda

TINGGAL beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pusat beli-belah kini menjadi tumpuan. Suasana juga begitu sibuk. Setiap tahun kita dapat lihat

Hidup ini keras

PADA pagi Rabu, saya menempah tukang bersih rumah yang diperkenalkan oleh sahabat. Seorang ibu tunggal berusia 34 tahun dan anak perempuan berusia 14 tahun. Apabila

BERITA TERBARU

Umat Islam puasa Ramadan dua kali pada tahun 2030

Kalendar Hijriah Islam dihitung berdasar putaran bulan, manakala kalendar Gregorian atau Masehi dikira berdasar perjalanan bumi mengelilingi matahari. Justeru, ini menyebabkan umat Muslim berpuasa 36