IKTIBAR
MEDIA sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia pada hari ini. Melalui Facebook, WhatsApp, TikTok, Instagram dan pelbagai platform lain, seseorang boleh berkongsi pandangan, berita, gambar dan pengalaman dalam sekelip mata.
Namun, kemudahan ini juga menuntut setiap Muslim supaya sentiasa menjaga akhlak dan batas agama.
Islam bukan sahaja mengajar umatnya tentang ibadah seperti solat dan puasa, bahkan turut mengatur cara seseorang berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain.
Setiap perkataan yang ditaip, komen yang ditulis dan perkongsian yang dibuat perlu dipertimbangkan kerana semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
MALAIKAT BERSAMA KITA
Walaupun seseorang menggunakan media sosial bersendirian di dalam bilik, hakikatnya dia tidak pernah benar-benar bersendirian. Allah SWT sentiasa mengetahui segala perbuatan manusia. Bahkan, setiap perkataan yang diucapkan dicatat oleh malaikat.
Allah SWT berfirman: “Tidak ada suatu perkataan yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa mencatat.” (Surah Qaf: 18)
Jika perkataan yang keluar daripada mulut pun dicatat, maka tulisan yang kita taip di media sosial juga tidak terlepas daripada pengetahuan Allah SWT.
Status, komen, mesej, perkongsian dan segala bentuk komunikasi yang dilakukan oleh seorang Muslim hendaklah dipastikan tidak mengandungi fitnah, penghinaan, umpatan atau perkara yang boleh menyakiti orang lain.
Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis ini memberikan panduan yang sangat jelas tentang penggunaan media sosial.
Jika sesuatu perkongsian membawa manfaat, kita boleh menyampaikannya. Jika kita tidak pasti tentang kebenarannya, lebih baik kita berhenti dan menyemaknya terlebih dahulu. Jika sesuatu komen hanya bertujuan untuk menghina atau mencetuskan perguaduhan, berdiam diri lebih selamat.
Allah SWT turut mengingatkan manusia supaya menyelidiki berita yang diterima. Dalam Surah al-Hujurat, ayat 6, Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya menyemak sesuatu berita agar tidak menimpakan keburukan kepada orang lain kerana kejahilan.
MEMPAMERKAN PERIBADI MUSLIM
Media sosial juga merupakan ruang untuk seorang Muslim mempamerkan akhlak dan keperibadiannya.
Tidak salah untuk berkongsi kejayaan, kegembiraan atau pandangan, tetapi semuanya perlu dilakukan dengan adab dan niat yang baik.
Seorang Muslim tidak sepatutnya menggunakan media sosial sebagai tempat untuk membuka aib orang lain, menghina golongan tertentu, mencaci, menyebarkan gambar tanpa izin atau membalas komen buruk dengan kata-kata yang lebih buruk.
Perbezaan pandangan juga tidak seharusnya menyebabkan kita kehilangan adab.
Allah SWT berfirman: “Janganlah sesua tu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka.” (Surah al-Hujurat: 11)
Ayat ini amat relevan dengan kehidupan di media sosial. Kadangkala seseorang berasa bebas untuk menulis sesuatu kerana tidak berhadapan secara langsung dengan orang yang menjadi sasaran.
Namun, seorang Muslim perlu mengingati bahawa kemuliaan akhlak tidak berubah hanya kerana komunikasi berlaku di alam maya.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah sesuatu yang diletakkan pada timbangan seorang mukmin pada hari kiamat yang lebih berat daripada akhlak yang baik.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Oleh itu, jadikanlah media sosial sebagai medan untuk menyebarkan kebaikan, ilmu, nasihat dan perkara yang bermanfaat.
Sebelum menekan butang “hantar” atau “kongsi”, tanyalah diri sendiri: Adakah perkara ini benar? Adakah perkara ini bermanfaat? Adakah perkara ini akan menyakiti orang lain? Yang paling penting, adakah Allah SWT reda dengannya?
Sesungguhnya, seorang Muslim bukan sahaja dikenali melalui pakaian dan ibadahnya, tetapi juga melalui tutur kata, tulisan dan akhlaknya.
Media sosial mungkin berada di alam maya, tetapi setiap perbuatan kita tetap berada dalam pengetahuan Allah SWT dan akan di persoalkan di akhirat kelak.



