HUBUNGAN pergaulan di tempat kerja perlu dijaga tidak kira individu berstatus bujang atau sudah berkahwin, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman.
Jelasnya, pihak atasan dan kakitangannya perlu mengetahui batas dan kesan perbuatan mereka di tempat kerja.
Perkataan sayang atau dear memberi makna tersirat kepada seseorang maka individu yang memanggil orang lain menggunakan perkataan tersebut perlu mengetahui batas ungkapan berkenaan, katanya.
“Ketua dan orang bawahan perlu mengetahui batas mereka termasuk dari segi perbualan dan jika tidak selesa dengan perbuatan seseorang yang menggunakan ungkapan itu, maka bertegas menunjukkan bahawa kita tidak menyukainya.
“Jangan berdiam diri dan biarkan seseorang bertindak lebih jauh manakala bagi mereka yang berkahwin, ingatlah amanah iaitu pasangan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbuatan menjalinkan hubungan sulit dan memanggil rakan sekerja dengan gelaran sayang boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut surat edaran Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) 7 April lalu.
Sementara itu kata Khirudin, pengalaman beliau dalam perkhidmatan awam kawal selia berhubung isu berkenaan terkawal disebabkan latihan dan disipilin yang diterapkan dalam diri anggota.
Bagaimanapun katanya, terdapat kejadian di luar kawalan menyebabkan berlakunya kes-kes berkenaan apabila fikiran dikawal nafsu.
Disebabkan itu beliau menasihati orang ramai terutama dalam kalangan penjawat awam agar sentiasa menjaga batas dalam pergaulan seharian khususnya di tempat kerja.
Sebelum ini melalui surat edaran SPA menggariskan beberapa kesalahan yang tidak boleh dilakukan oleh kakitangan kerajaan.
Antara kesalahan digariskan sebagai salah laku dan akan dikenakan tindakan tatatertib adalah perbuatan curang, panggilan sayang atau dear kesalahan seksual secara fizikal serta gangguan seksual menerusi visual seperti mesej berbaur seks atau gambar tidak senonoh.