Jaga hati saudara baru

KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Sarawak di kediamannya semalam.

Delegasi seramai sembilan orang diketuai Pengerusi Macma Sarawak, Tony Ong Abdullah.

Tujuan kunjungan diadakan untuk membincangkan aktiviti berkaitan Macma Sarawak termasuk aktiviti sepanjang pascaCovid-19.

Objektifnya penubuhan persatuan itu untuk mendekatkan jurang, memastikan bahawa selepas proses pengislaman, individu yang memeluk Islam boleh berintegrasi dengan masyarakat dan mengikut ajaran Islam.

Sejarah mualaf di Sarawak bermula dengan penubuhan Urus Setia Saudara Baru sebelum kemunculan Macma pada 1996 yang kemudian diperkenalkan bagi memenuhi keperluan mualaf Cina kerana perbezaan bahasa.

“Saya sangat gembira melihatnya masih ada. Sangat sukar mengekalkan aktiviti NGO terutama yang berteraskan agama melainkan dipimpin individu yang sangat komited dan pasukan jawatankuasa yang baik,” kata Fatimah.

Pertubuhan itu juga membantu mualaf bergaul dengan masyarakat untuk mengadaptasi, menyesuaikan diri dan mempelajari cara hidup baharu.

Fatimah mengucapkan tahniah kepada Macma Sarawak kerana dapat mengubah persepsi masyarakat apabila seseorang menukar agama mereka.

Bermula dengan sederhana hingga kini, persatuan itu kini memiliki 600 ahli dan membuktikan kemampuannya untuk menangani cabaran dan masalah bagi memenuhi objektif penubuhannya.

Suara Sarawak