KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menunaikan 34 perkara yang dijanjikan dalam manifesto pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) termasuk menjaga kebajikan rakyat.
Kata Pengerusi GPS itu, ia juga melibatkan pembangunan Sarawak meliputi kawasan bandar dan luar bandar sehingga mampu mencapai status negeri maju dalam tempoh masa lapan tahun lagi.
“Bagi pihak rakan-rakan dalam kabinet, saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinan saya akan melakukan yang terdaya untuk menunaikan 34 perkara yang dijanjikan dalam manifesto GPS.
“Malah kerajaan GPS telah membuktikan anak Sarawak sendiri mampu mengurus negeri ini dengan baik, khususnya ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 dengan melaksanakan program pemberian vaksinasi berkesanan meliputi orang dewasa dan kanak-kanak.
“Ekoran program yang menyeluruh itu juga, penularan Covid-19 di sini mampu dikawal dengan baik berbanding dengan kawasan-kawasan lain,” katanya dalam perutusan khas sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022.
Di samping itu, Abang Johari memberitahu, kerajaan GPS juga terbukti mampu membantu meringankan beban kewangan rakyat dengan merupakan satu-satunya negeri yang telah memberi bantuan yang agak besar berjumlah RM5 bilion untuk rakyatnya.
Beliau dalam pada itu sekali lagi merakamkan sekali lagi setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada sokongan rakyat dalam PRN-12 pada Disember tahun lepas.
“Melalui pilihan raya tersebut, rakyat telah memberi kepercayaan kepada saya sebagai ketua GPS untuk terus menerajui kepimpinan Kerajaan Sarawak dengan memenangi 76 daripada 82 kerusi.
“Ia isyarat cukup jelas dan mandat yang amat besar kepada kerajaan GPS untuk memastikan Sarawak ditadbir dengan baik dan program pembangunan berjalan lancar supaya visi untuk menjadikan sebuah negeri ekonomi maju berpendapatan tinggi dapat direalisasikan pada tahun 2030,” ujarnya.
Beliau yakin majoriti rakyat negeri ini telah memilih kerajaan GPS untuk kekal menerajui pentadbiran negeri berdasarkan kekuatan bahawa ia sebuah kerajaan yang berwibawa dan boleh dipercayai.
ends…