Jaga kebajikan warga emas

KUCHING: Pasar raya dan kedai runcit yang memberi diskaun kepada warga emas, pemegang “Kenyalang Gold Card” amat memberangsangkan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia adalah pendekatan baharu Kerajaan Sarawak untuk membantu dan menjaga kebajikan warga emas di negeri ini.

“Pendaftaran pasar raya dan kedai runcit yang terlibat untuk memberi diskaun kepada pemegang Kenyalang Gold Card amat menggalakkan.

“Pemegang Kenyalang Gold Card nanti dapat menikmati diskaun semasa melakukan pemeriksaan kesihatan dan pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di sini semalam.

Tegas Abang Johari, beliau sedang mempertimbangkan pemberi tambang secara percuma kepada pemegang Kenyalang Gold Card yang menggunakan perkhidmatan awam di bawah kendalian Kerajaan Sarawak.

“Saya masih berunding dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin mengenai langkah itu.

“Warga emas yang berusia 60 ke atas dengan kad pengenalan berstatus ‘K’ layak menerima kad berkenaan dan pendaftarannya kini sedang dibuka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, PAWE Sri Satok merupakan model kepada pembangunan kemudahan yang sama di Petra Jaya dan bandar-bandar besar di seluruh Sarawak kerana dilengkapi teknologi moden.

“Oleh itu, saya memberi peruntukan khas RM60,000 setahun kepada PAWE Sri Satok untuk menjalankan sebarang aktiviti sewajarnya.

“Mudah-mudahan kita menang dalam kes melawan Petronas,” ujarnya.

Hadir sama isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof dan Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Suara Sarawak