Jaga tutur kata kita

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

LUAR biasa! Sambutan diberikan rakyat Sabah dan Sarawak ketika menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Kembara Kenali Borneo bermula 3 hingga 13 September ini dianggap sangat luar biasa.

Lebih luar biasa, apabila melihat video rakyat menunggu ketibaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Tebingan Lawas, Khamis lepas. Begitu ramai rakyat menunggu kebarangkatan tiba baginda berdua.

Dan, video perjalanan baginda berdua bersama-sama putera dan puteri baginda sohor kini di media sosial. Macam-macam video rakyat bersama-sama baginda berdua dikongsikan.

Satu video dari Sabah menarik untuk ditonton. Wanita dalam video itu bersama-sama rakannya setia menunggu ketibaan baginda berdua sambil membawa jambangan bunga yang digubah khas mengikut tema warna diraja — kuning.

“Sudah panas di sini. Sudah burn wajah aku di sini tapi it’s okey. Ini peluang seumur hidup,” jelasnya.

Katanya lagi, “Hari ini aku cakap dengan bos aku, hari ini aku mahu tunggu Agong.

Dia berkata… pergilah.” Sebelum ketibaan rombongan baginda melintasi gerai tepi jalan di Kimanis, Sabah, wanita itu yang videonya disiar secara langsung di Facebook menerangkan betapa ramai orang berbaris di tepi jalan.

“Kalau nak lihat pemimpin itu perform, lihat sambutan rakyat terhadapnya,” jelasnya lagi yang menganggap kunjungan Yang diPertuan Agong sebagai hadiah Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu dan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Saya sendiri tertarik melihat video-video yang dikongsikan.

Tertarik dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang tidak kekok untuk bermesra dengan rakyat.

Di sesetengah lokasi, baginda berdua turun dari kenderaan untuk bersalam-salaman dengan rakyat.

Malah, baginda berdua yang turut mengajak rakyat bergambar.

Ketika singgah di lokasi yang ada gerai jualan, Raja Permaisuri Agong secara bersahaja bergurau dengan peniaga.

Ada satu video Tunku Azizah mengusik peniaga wanita yang melatah, sehinggakan wanita itu pula yang akhirnya meminta maaf sebab tidak sedar apa-apa yang disebutnya ketika melatah.

VIDEO TULAR

Satu lagi video tular apabila seorang mak cik yang memberikan duit kepada putera Yang di-Pertuan Agong. Video ini mendapat perhatian netizen.

“Hebat mak cik, bagi duit dengan putera Agong.”

Sebenarnya banyak lagi momenmomen indah yang diciptakan oleh baginda berdua bersama-sama rakyat.

Malah, Yang di-Pertuan Agong turut gembira dengan telatah rakyat walaupun penat memandu dalam perjalanan yang jauh menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

Titah Yang di-Pertuan Agong dalam Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah,

“Saya terharu apabila anak muda panggil saya Pak Cik Agong, ada juga yang panggil saya Abang Agong, ada juga panggil gong, gong, gong.

Sekurang-kurangnya menghiburkan saya.

“Raja Permaisuri Agong (dipanggil) Datin Permaisuri, ada pujian-pujian kepada isteri saya, ooh cantik sekali, Alhamdulillah,” titah baginda.

Kita dapat dengar panggilanpanggilan ini dalam video, namun itu sebenarnya berlaku secara tidak sengaja.

Ada yang sudah membuat latihan, tetapi hilang kata-kata apabila baginda bedua berada di depan mata.

Sebab masing-masing terlalu teruja dengan kunjungan baginda, apatah lagi persinggahan itu hanya sementara.

Apa-apa pun, situasi demikian harus dijadikan pengajaran kepada kita di Sarawak pula.

Kita harus cepat belajar dan mengetahui panggilan yang betul untuk keluarga diraja kerana Yang di-Pertuan Agong kini sudah berada di Sarawak untuk meneruskan Kembara Kenali Borneo hingga ke Tanjong Datu, Lundu — titik mula 0 kilometer.

Selepas berada di Lawas, Yang di-Pertuan Agomg hari ini dijadual memasuki Miri dari Brunei Darussalam.

Jaga adab, jaga tutur kata dan jangan salah guna nama panggilan.

Ini sebenarnya antara nasihat anggota polis yang menjaga laluan kembara kepada rakyat yang menunggu baginda berdua.

Yang pasti, sudah ada yang mencari jalan yang akan dilalui oleh baginda berdua.

“Sik sabar nak nunggu Agong datang.

Teringin nak bersalam dengan Agong,” jelas seorang rakan.

Sepanjang kunjungan keluarga diraja ini ke Sarawak, ini peluang untuk kita menunjukkan kehebatan anak Sarawak melayan tetamu.

Tunjukkan Sarawak benar-benar model terbaik yang harus dicontohi negeri lain dalam pemupukan perpaduan rakyat.

Paling utama juga, beri kerjasama kepada pihak berkuasa yang mengatur urus perjalanan baginda berdua di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

Pastikan mengikut arahan pihak berkuasa bagi memastikan perjalanan Konvoi Kenali Borneo ini lancar.

ADUAN, KOMEN RAKYAT

Berakhirnya kembara ini kelak, bermakna akan ada banyak nota-nota Yang di-Pertuan Agong sepanjang kembara di dua negeri ini tentang keperluan rakyat akan diserahkan kepada kerajaan.

Di Sabah, baginda bertitah, sekembali ke Kuala Lumpur, baginda akan memanggil mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyuarakan perkara yang patut disuarakan, termasuk aduan penduduk kampung dekat Sungai Liwagu di Ranau berhubung kerosakan jambatan yang menjejaskan perhubungan mereka.

Malah, dalam satu video, Tunku Azizah dilihat mencatat sendiri aduan daripada penduduk yang mengadu jalan di kawasan mereka rosak dan selalu berlaku banjir.

Jadi, akan ada banyak kerja untuk pemimpin dan wakil rakyat bagi memastikan kemudahan rakyat itu segera dibaiki.

Kunjungan ini harus dijadikan panduan kepada mana-mana pemimpin agar selalu menyantuni rakyat tidak kira di bandar ataupun luar bandar, walaupun terpaksa berperahu atau berjalan kaki.

Dengan adanya pemimpin selalu turun padang, mereka akan dapat mendengar secara langsung setiap aduan daripada rakyat tentang kemudahan yang mereka amat perlukan.

Bukan sekadar menghantar wakil untuk bertemu dengan rakyat jika ada masalah.

Sebab wakil ini hanya akan mencatat setiap aduan serta masalah untuk disampaikan kepada wakil rakyat.

Jika wakil rakyat sendiri yang turun padang, maka keputusan segera dapat dibuat bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan.

Ini kerana wakil rakyat akan dapat membawa wakil kementerian atau agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Diharapkan akan ada kembara sebegini dianjurkan oleh wakil rakyat bagi melihat sendiri keperluan rakyat.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Dunia kaki buku

ADA banyak sebab pentaasub dan penggila buku membeli buku. Seorang