Jalan baharu hadiah Kerajaan GPS untuk rakyat Nanga Semah

DARO: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sejumlah RM 45 juta di bawah Program Projek Rakyat untuk melaksanakan Projek Jalan Kampung Penasu ke Nanga Semah.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, kos itu merangkumi kerja-kerja pembinaan, kerja-kerja ukur tanah dan pembayaran pampasan tanah.

Menurutnya, kos pembinaan adalah sebanyak RM 35.8 Juta yang melibatkan pembinaan Jalan Piawaian R3 dengan dua lorong selebar 6.5m dan sepanjang 10.47 kilometer (km) menghubungkan Kampung Penasu ke Nanga Semah.

“Kerja-kerja pembinaannya telah bermula pada Mei 2019 untuk disiapkan dalam tempoh 24 pada Mei 2021.

“Kemudahan ini mampu memberikan kemudahan perhubungan di antara kedua-dua perkampungan ini dan pengangkutan darat akan menjadi pilihan utama berbanding pengangkutan sungai ketika ini,” katanya pada majlis pecah tanah projek rakyat Jalan Kampung Penasu ke Nanga Semah di sini, hari ini.

Julaihi memukul gong simbolik perasmian projek rakyat Jalan Penasu-Nanga Semah sambil diperhatikan ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad (tiga kiri).

Penempatan di Nanga Semah terdiri daripada enam buah rumah panjang masyarakat Iban di tebing Sungi Semah, Batang Serdeng manakala Kampung Penasu terdiri daripada 76 buah rumah dan kira-kira 800 lebih penduduk masyarakat Melanau dan Melayu.

Ketika ini penduduk di kawasan-kawasan ini hanya dapat dihubungkan melalui pengangkutan air sahaja dan amatlah sukar bagi penduduk

Kampung Penasu untuk mendapat perkhidmatan klinik desa yang terdapat di Nanga Semah.

Sehubungan itu, Julaihi berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa bersedia untuk melaksanakan pelan ataupun projek yang difikirkan perlu bagi mengatasi atau mengurangkan masalahperhubungan yang dihadapi oleh penduduk luar bandar.

Ujarnya, melalui perancangan rapi, ianya diharap akan dapat memastikan bahawa isu-isu perhubungan dan infrastruktur dapat diurus dan ditangani dengan lebih berkesan bagi membantu menjamin kebajikan penduduk di kawasan luar bandar.

“Dengan adanya kemudahan ini penduduk Kampung Penasu boleh mendapat perkhidmatan klinik desa di Nanga Semah dengan lebih cepat melalui kenderaan darat.

“Ia jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat kawasan ini untuk mendapat kemudahan kesihatan yang merupakan hak asasi setiap rakyat negeri ini,” katanya.

Hadir sama ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad, Ahli Dewan Dewan Negara, Senator Datuk Paul Igai, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Chok Moi Soon, Residen Mukah, Hamdiah Bakir dan Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli.

Mengabadikan kenangan beramai- ramai selepas menyempurnakan acara pecah tanah.

 

: Antara penduduk yang hadir memeriahkan program.