KUCHING: Beberapa jalan utama berdekatan Tebingan Kuching akan ditutup bagi memberi ruang kepada acara Regata Sarawak-Festival Tebingan Kuching 2022 yang bermula 28 Oktober hingga 6 November ini.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, penutupan jalan membabitkan Jalan Main Bazaar yang ditutup mulai 19 Oktober hingga 7 November.
Sementara katanya, Jalan Wawasan dari arah Padang Merdeka ditutup pada 29 Oktober dari jam 7 pagi sehingga selepas selesai majlis perasmian Regata Sarawak.
Manakala pada 6 November, jalan ditutup bermula jam 10 pagi hingga selesai majlis penutupan.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu Jalan Main Bazaar, Jalan Tun Abang Haji Openg dan Lebuh Wayang bagi memastikan pergerakan lalu lintas lancar.
“Tempat letak kenderaan bagi orang ramai berhasrat mengunjungi festival ini adalah di pusat beli belah Plaza Merdeka, tempat letak kereta bertingkat Saujana, Medan Pelita, Dewan Suarah Kuching dan Taman Budaya Resevoir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahsmon berkata, orang awam khususnya warga Kuching dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan akibat penutupan jalan ini.
Katanya, sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-259900.