Jalan ditutup sempena Sarawak Regatta 2019

KUCHING: Beberapa jalan utama di sekitar Tebingan Sungai Kuching akan ditutup bagi memberi ruang kepada acara Sarawak Regatta 2019 yang akan berlangsung dari 26 Okt sehingga 3 Nov ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata jalan utama yang ditutup itu adalah Jalan Main Bazaar dan Jalan Gambier, penutupan dan lencongan jalan sementara akan bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.

“Orang awam yang ingin menghadiri dan menyaksikan majlis ini adalah dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat letak kenderaan yang telah disediakan disepanjang kiri Jalan Tunku Abdul Rahman, Poliklinik Jalan Masjid dan Jalan Khoo Hun Yeang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Awang Din berkata semua petak letak kenderaan di sepanjang Jalan Main Baazar menghala ke Jalan Tun Abang Haji Openg juga akan dikosongkan pada 3 Nov mulai pukul 6.30 pagi sehingga 4.00 petang.

“Orang awam dinasihatkan untuk memilih laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan, kenderaan dari arah Jalan Tunku Abdul Rahman dinasihatkan bergerak terus ke Jalan Ban Hock atau Jalan McDougall untuk mengelak kesesakan di lokasi penutupan Jalan Main Baazar.

“Kenderaan dari arah Jalan Haji Taha boleh membuat pusingan di bulatan masjid bahagian untuk mengelak kesesakan di lokasi penutupan Jalan Gambier,”katanya.

Orang awam adalah dinasihatkan untuk merancang masa perjalanan masing-masing pada hari itu sekiranya mempunyai urusan di kawasan pusat bandar dan patuhi tanda-tanda isyarat kawalan lalulintas yang diarahkan oleh pegawai polis yang bertugas.– BERNAMA