Trending

Jalan-jalan cari makan di kota peranginan Sharm el-Sheikh

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

TERLETAK di selatan Semenanjug Sinai, kota ini dikenali sebagai Madinah al-Salam atau Kota Keamanan disebabkan banyak persidangan keamanan antarabangsa berlangsung di sini. Ia juga pusat pentadbiran Gabenor Sinai Selatan.

Namun, sebagaimana juga Kota Dahab, tarikan utama kota ini ialah keindahan pesisir pantainya menghadap Laut Merah.

Sharm el-Sheikh pernah ditawan Rejim Israel pada 1956 dan dikembalikan semula pada 1957.

Begitu juga pada 1967 dan ia kemudian dikembalikan pada 1982.

Kota ini asalnya pelabuhan perdagangan, tetapi kini hanya tinggal pelabuhan tentera. Kini industri utamanya ialah pelancongan.

AKTIVITI AIR

Pantainya cantik menggamit peminat aktiviti air seperti selaman skuba.

Dasar lautnya kaya dengan lebih 250 terumbu karang dan lebih seribu spesies ikan.

Kota ini bukan kota yang mempunyai tarikan tinggalan sejarah sepertimana kota lain di Mesir.

Tarikan utamanya hanyalah aktiviti air dan menikmati keindahan pantai dengan sinar suria dan air laut yang hangat sepanjang tahun.

Walaupun terdapat pusat peniagaan dan pusat belibelah, barangan jualannya turut terdapat di kota lain di Mesir terutama Kota Kaherah.

Harganya pun lebih mahal kerana kota ini mendapat kunjungan pelancong Barat yang mempunyai kadar tukaran mata wang yang lebih baik, lebih-lebih lagi bagi yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat atau pound British.

Hotel yang terdapat di kota ini tidak dapat dinafikan cantik dan indah dengan kadar harga penginapan yang hanya sesuai untuk pelancong Barat.

Justeru, bagi pelancong seperti kami lebih baik bermalam di Kota Dahab atau terus balik ke Kota Kaherah.

Bagi kami yang berziarah lebih untuk mengenali sejarah, berbaloi menziarahi Masjid Sahaba yang baru sahaja dibina bermula Januari 2011 dan dirasmikan pada Mac 2017.

Masjid Sahaba meskipun merupakan masjid kedua terbesar di Kota ini, selepas Masjid al-Mustafa, tetapi lebih ramai menarik pengunjung kerana keindahannya.

Pembinaannya dengan seni bina Kerajaan Uthmaniyah merupakan masjid indah di Kota ini.

Ia mempunyai dua menara setinggi 76 meter dan bilangan kubah yang banyak.

Ia dikatakan boleh memuatkan 3,000 jemaah dengan harga binaannya mencecah 40 juta pound Mesir.

Masjid sahaba bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai Pusat Kebudayaan Islam Antarabangsa dan Pustaka Agama dan Kebudayaan.

Selain berkunjung masjid ini, salah satu agenda yang tidak dilepaskan tentunya jalan-jalan cari makan.

RESTORAN MEWAH

Terdapat begitu banyak restoran di seluruh kota yang menawarkan pelbagai menu menyelerakan.

Namun, sukar dipercayai, di sebalik pelbagai barangan jualan dan kos penginapan yang hanya mampu dilihat, sebaliknya harga hidangannya murah dan masuk akal.

Kami tidak berfikir panjang untuk mencuba menu murah ini sambil santai di restoran mewah.

Kami menikmati makan tengah hari di Restoren el-Masrien King of the Grill. Mencuba hidangan ayam panggang, nasi, krim sup ayam dan pelbagai jus buah segar.

Sebelum ini, kami sekadar menikmati hidangan shawarma, sandwic dan kebab sewaktu di Kota Dahab.

Alhamdulillah, kami cukup berselera kerana hidangannya amat sedap dan menepati cita rasa.

Jika ditanya sama ada ziarah ke Sharm el-Sheikh berbaloi atau bermanfaat, maka jawapannya masih berbaloi.

Ini kerana kita dapat melihat sisi berbeza negara Mesir dengan kemodenan dan kecanggihan berbanding kota lain yang masih mengekalkan nilai tradisional dan sejarah.

Setelah seharian berada di kota ini, kami memilih kembali ke Kaherah meneruskan kembara.

Kami memilih menyelusuri bahagian selatan Sinai melalui jalan pantai untuk menikmati indah senja di padang pasir Sinai.

Seperti sebelum ini, kami terpaksa melalui beberapa sekatan pemeriksaan polis, tentera dan ini dikatakan cabaran biasa.

Namun, alhamdulillah kami selamat tiba di Kota Kaherah apabila malam melabuh tirai.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

PERMUDAH URUSAN KWSP

MUKAH berada di zon tengah Sarawak sememangnya mengalami pembangunan pesat

KAWAL EMOSI DIRI

»SURAH Maryam memaparkan kisah yang sarat dengan pengajaran yang dititipkan

E-Paper

8 December 2023

Berita Terbaru