
SEMATAN: Hujan lebat sejak semalam menyebabkan jalan raya yang menjadi laluan alternatif penduduk Kampung Siru Dayak di sini mendap.
Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan Damataries Lautin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 11 pagi tadi.
“Lawatan di tempat kejadian mendapati tanah mendap berlaku akibat hujan lebat dari semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menambah jalan berkenaan juga merupakan laluan alternatif iaitu Jalan Pan Borneo dan Jalan Kampung Pueh.
Justeru, katanya kejadian telah memaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Lundu untuk tindakan selanjutnya.
Selain tanah runtuh, beliau berkata dua buah kampung di Daerah Lundu turut terjejas banjir akibat hujan sejak semalam.
Katanya kampung-kampung yang terjejas ialah Kampung Sebat Melayu dan Kampung Sebat Dayak.
Sementara menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi satu kenyataan, mangsa-mangsa banjir dari kedua-dua kampung terbabit telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Seramai 39 orang mangsa daripada 10 isi rumah dari Kampung Sebat Melayu dipindahkan ke PPS yang dibuka di SK Sebat.
Manakala seramai 17 orang mangsa daripada tujuh isi rumah dari Kampung Sebat Dayak dipindahkan ke PPS yang dibuka di Balai Raya Kampung Sebat Dayak.